Ibu reda dua anak derita sakit saraf
PASIR GUDANG - Dua beradik dari Taman Tanjung Puteri Resort, di sini yang menghidap penyakit saraf hanya mampu terlantar di dalam rumah.
Izureen Qhaireen Izri, 7, dan Izham Muhamad Izri, 4, yang hilang upaya untuk berdiri dan berjalan seperti kanak-kanak normal lain diurus sepenuhnya oleh ibu, Siti Maizatul Akhmar, 32, dan bapa, Izri Jailani, 34.
Menurut Siti Maizatul, semua keperluan anak sulung dan anak ketiga daripada empat beradik itu diuruskannya bersama-sama suami.
"Kedua-duanya makan bubur dan minum susu khas dengan menggunakan suntikan. Dalam masa beberapa tahun lagi mereka tidak boleh lagi makan dengan cara ini sebaliknya menggunakan saluran tiub yang ditebuk di leher.
"Izureen dan Izham menghidap sakit saraf atau canavan disease. Penyakit ini membuatkan tangannya bengkok sebelum memberi kesan terhadap otak hingga membuatkan dia tidak boleh bercakap atau bangun," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya hari ini selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang menghulurkan sumbangan makanan, barangan keperluan dan wang tunai.
Siti Maizatul berkata, Izureen sering diserang sawan tiga atau empat kali sehari dan jika keadaannya teruk akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk rawatan.
Dia dan suaminya sudah mengetahui bahawa kedua-dua anaknya itu tidak normal semasa dalam kandungan lagi apabila proses imbasan mendapati kepala mereka besar tidak seperti bayi normal lain.
"Kami diberi pilihan untuk menggugurkan kandungan namun disebabkan tidak sanggup berbuat demikian dan reda dengan pemberian ALLAH, kami berkeras mahu kedua-duanya dilahirkan seperti biasa.
"Kami sanggup memeliharanya walaupun doktor memberitahu jangka hayat kanak-kanak yang menghidap penyakit ini hanya bertahan selama 10 tahun. Kami reda dan sanggup lalui apa sahaja," katanya.
Siti Maizatul yang telah berhenti kerja empat tahun lalu berkata, dua lagi anaknya iaitu Izara Sofea, 6, dan Anaqi, sembilan bulan dilahirkan normal dan kini membesar seperti kanak-kanak lain.
Setiap bulan katanya, mereka membelanjakan lebih RM1,000 untuk lampin dan susu khas selain kos rawatan serta penghantaran ke HSI selain pendapatan suaminya yang bekerja kilang tidak cukup untuk menampung keperluan itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank 7609399041 atas nama Siti Maizatul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!