Telur tuntung ditemui di Sabak Bernam
Disyaki telur tuntung berdasarkan bentuk dan bilangan serta keadaan sarang.
SEKINCHAN - Seorang penduduk yang menggali pasir pantai menemui 14 biji telur tuntung laut di pesisir pantai Jalan Sungai Labu, Kampung Sungai Leman di sini pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, pihaknya dihubungi seorang pengadu memaklumkan penemuan telur itu pada jam 9.15 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya di lokasi kejadian mendapati telur itu disyaki telur tuntung berdasarkan bentuk dan bilangan serta keadaan sarang.
"Ini merupakan aduan kali pertama yang kami terima berhubung penemuan telur tuntung di daerah Sabak Bernam," katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengarahkan pengadu terbabit merujuk penemuan telur itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
"Kita meminta supaya orang awam merujuk perkara ini dengan pihak jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.
Sebelum ini tular di sebuah laman Facebook berhubung penemuan 14 biji telur tuntung di pesisir pantai Sungai Labu di sini hari ini.
Pengendali laman Facebook yang memuat naik status memaklumkan, penemuan itu disifatkan janggal kerana tuntung biasanya bertelur di persisiran pantai timur.
"Dalam sejarah juga tempat ini (pesisir pantai Selangor) jadi tempat (tuntung) bertelur.
"Kami mengambil keputusan untuk berhubung dengan Jabatan Perikanan Daerah Sabak Bernam bagi siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!