Tangguhkan pemotongan mata dimerit, kaji tiada diskaun saman
PUTRAJAYA - Kerajaan digesa menangguhkan semula keputusan untuk memotong mata dimerit terhadap pemandu yang melakukan kesalahan di jalan raya.
Timbalan Pengerusi ProTAES, Faiz Fadzil berkata, langkah tersebut tidak sesuai dilaksanakan.
"Keputusan itu boleh menjejaskan pendapatan rakyat bagi mereka yang hanya bergantung rezeki melalui kenderaan," katanya.
Selain itu, sekiranya lesen memandu digantung, ia akan menyukarkan lagi keadaan bagi mereka yang berada di luar ibu kota kerana ketiadaan alternatif lain.
"Di Kuala Lumpur banyak alternatif seperti LRT, MRT dan sebagainya, tetapi di tempat lain, ia akan menyukarkan lagi kehidupan rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pasir itu turut merayu agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak memberi diskaun terhadap saman kesalahan jalan raya.
Katanya, cara mendidik rakyat berdisiplin di jalan raya bukanlah melalui saman ataupun tindakan undang-undang.
"Rakyat perlu diberikan lebih kesedaran mengenainya.
"Jadi saya merayu untuk kerajaan semak semula keputusan itu," katanya.
Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas.
Sebanyak 11 lagi kamera AES bakal dipasang oleh PLUS di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS dan lokasinya masih dalam penelitian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!