KSM adakan perbincangan dengan pengurusan Malindo Air

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) hari ini mengadakan perbincangan dengan pengurusan Malindo Air berhubung pemberhentian pekerja di syarikat penerbangan tersebut.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, mesyuarat yang diadakan itu akan membincangkan isu berkaitan pematuhan perundangan perburuhan serta langkah-langkah menjaga kebajikan pekerja yang terlibat.

Menurutnya, perbincangan itu turut disertai Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Kepada pekerja-pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta boleh mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga enam bulan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

"Bayaran elaun akan dibuat antara 80 peratus sehingga 30 peratus daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000.

"Bantuan tersebut adalah seperti Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan, Fi Latihan dan Faedah bantuan pencarian pekerja," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah kakitangan Malindo tamat perkhidmatan trending di Twitter

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Kasthuriraani Patto (PH- Batu Kawan) berhubung apakah bantuan yang akan diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia kepada pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Saravanan turut memaklumkan setakat 2 November, JPP telah menerima sebanyak 31 kes representasi pemulihan kerja di bawah seksyen 20 Akta 177 yang melibatkan bekas pekerja-pekerja Malindo Air.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 kes telah berjaya diselesaikan melalui rundingan damai manakala bakinya sebanyak tujuh kes masih lagi dalam tindakan JPP bagi proses rundingan damai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!