Operasi cari nelayan hilang diteruskan
ROMPIN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi mencari seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di lokasi kira-kira 16 batu nautika dari timur Kuala Endau di sini malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam dan mangsa melibatkan warga tempatan dikenali sebagai Mohd Harif Mohd Rosdi berumur 38 tahun.
Menurutnya, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan mengaktifkan Operasi Carilamat pada jam 9.15 malam tadi selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Sebelum itu, tekong bot dan awak-awak bot berkenaan cuba mencari mangsa di lokasi namun gagal berikutan keadaan gelap.
"Mangsa dipercayai tenggelam selepas terjatuh kerana tidak memakai jaket keselamatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Amran berkata, Operasi Carilamat yang digerakkan itu melibatkan Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang beroperasi di sekitar Perairan Pulau Tioman.
"Sementara itu kapal KM Tatau turut digerakkan dalam misi pencarian mangsa yang diteruskan pagi ini.
"Operasi hari ini turut menggunakan pesawat udara Bombadier CL415 daripada Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang diterbangkan dari Stesen Udara Maritim Subang," katanya.
Dalam pada itu, Amran berkata, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan pencarian diteruskan dengan keluasan kawasan pencarian kira-kira 182 batu nautika persegi.
"Operasi Carilamat ini turut dibantu aset dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan dan tiga bot nelayan tempatan."
Amran berkata, komuniti Maritim dinasihatkan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Katanya, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC Kuantan di talian 09-5717368.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!