25 individu dicekup ketika asyik berjudi laga ayam

Judi laga ayam itu dianjurkan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dengan waktu operasi hanya pada hari Ahad.
Judi laga ayam itu dianjurkan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dengan waktu operasi hanya pada hari Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 23 lelaki dan dua wanita yang sedang leka bermain judi laga ayam dalam ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai ditahan polis dalam serbuan sepasukan anggota polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, perbuatan suspek berusia 23 hingga 62 tahun itu terbongkar selepas anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menyerbu kawasan tersebut pada jam 5 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati ladang kelapa sawit itu dijadikan sebagai markas perjudian sejak sebulan lalu.

"Judi laga ayam itu dianjurkan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dengan waktu operasi hanya pada hari Ahad. Markas perjudian terletak 1kilometer (km) dari jalan utama.

Dzulkhairi menunjukkan ayam laga yang dirampas di IPD Iskandar Puteri.
Dzulkhairi menunjukkan ayam laga yang dirampas di IPD Iskandar Puteri.

"Asalkan ada ayam dan duit boleh berjudi laga ayam. Mereka yang menyaksikan judi laga ayam juga boleh turut serta berjudi dengan meletakkan wang di tepi gelanggang laga ayam," katanya pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek terdiri daripada 10 warga Indonesia, empat pemegang status penduduk tetap (PR), sembilan lelaki warga tempatan dan dua wanita tempatan didapati negatif ujian saringan air kencing.

"Kita turut merampas 13 ekor ayam, tiga kanvas khemah, sebuah tong gas, satu gelanggang ayam, lima buah kerusi plastik, sebuah meja, sebuah generator dan wang taruhan RM 7,307.

Artikel Berkaitan:

Markas perjudian ayam laga di dalam ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai.
Markas perjudian ayam laga di dalam ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai.

" Difahamkan nilai taruhan tertinggi bagi laga ayam adalah RM 500 dan harga seekor ayam laga yang digunakan pula dianggarkan boleh mencecah RM 5,000," katanya.

Dzulkhairi berkata, kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 44 ( 1) (b) Akta Binatang 1953,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!