OdeJee lantik tiga panel penasihat syariah
JOHOR BAHRU - Syarikat tempatan pertama yang mewujudkan aplikasi penghantar makanan halal di negara ini, OdeJee melantik tiga tokoh agama di Johor sebagai ahli Panel Penasihat Syariah OdeJee.
Tiga tokoh berkenaan ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Noh Gadut; bekas Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan Pengurus Tabung Wakaf Rakyat Johor (TWRJ), Mior Hazwan Abd Rani.
Panel tersebut akan dipengerusikan oleh Noh Gadut yang juga bekas Mufti Johor.
Pengerusi OdeJee, Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata, pelantikan ketiga-tiga tokoh agama berkenaan bagi memastikan pihak OdeJee sentiasa mematuhi syariah dalam mengendalikan operasi dan perjalanan aplikasi itu sejak awal penubuhannya.
"Pihak OdeJee berkeyakinan bahawa dengan kepakaran dan pengalaman luas ketiga-tiga tokoh agama berkenaan dapat membantu aplikasi ini mematuhi semua elemen syariah seiring dengan tagline OdeJee–Halal, Amal dan Berkat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada 26 Oktober 2020 lalu, Noh Gadut merasmikan pejabat aplikasi makanan halal pertama di negara ini di Bandar Baru Uda di sini.
Pada permulaan, OdeJee akan beroperasi di Bandaraya Johor Bahru dan kawasan sekitar seperti Pasir Gudang, Senai dan Kulai serta ke seluruh Johor menjelang akhir tahun 2020.
Dalam suku pertama tahun depan, syarikat merancang melebarkan sayap perniagaannya ke Lembah Klang, kemudian disusuli Negeri Sembilan dan Melaka, seterusnya ke seluruh negara.
Ismail berkata, 40 peratus keuntungan yang diperoleh OdeJee akan diwakafkan dan disalurkan kepada Tabung Wakaf Rakyat Johor serta pertubuhan serta golongan yang layak memilikinya berdasarkan kelulusan Lembaga Amanah dan Jariah OdeJee yang juga dipengerusikan Noh Gadut.
"Secara tidak langsung menerusi pengagihan 40 peratus perolehan aplikasi ini, semua pihak daripada peniaga, penghantar makanan dan pembeli turut menyumbang dalam bentuk wakaf, amal dan jariah, sekali gus membangun bersama-sama ummah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!