Saman Sarawak Report: Rayuan Clare didengar 26 November
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 26 November untuk mendengar rayuan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain terhadap keputusan Mahkamah tinggi yang membenarkan permohonan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah untuk kes saman fitnah yang dikemukakan baginda diputuskan melalui isu undang-undang.
Peguam Clare, Americk Sidhu dan peguam Sultanah Nur Zahirah, Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu.
Americk berkata, anak guamnya mahu kes saman fitnah itu diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron menerusi prosiding dalam talian, e-Review.
Pada 13 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Perintah Mahkamah 2012, iaitu supaya kes saman itu diputuskan melalui isu undang-undang.
Berikutan keputusan mahkamah itu, Sultanah Nur Zahirah dikecualikan daripada memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap Clare atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd pada November 2018.
Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare, membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA, oleh itu kenyataan tersebut telah memfitnah dan merosakkan reputasi baginda.
Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya.- Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Saman Sarawak Report: Sultanah Terengganu tidak perlu beri keterangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!