Covid-19: Ahli Parlimen, petugas dinasihati patuh SOP

Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen dan petugas di Parlimen dinasihati agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya jangkitan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, amalan SOP perlu menjadi keutamaan bukan sahaja ketika hadir di persidangan Dewan Rakyat, malahan ketika pulang ke kawasan masing-masing.

"Dalam tempoh enam minggu persidangan ini, apabila kembali ke hotel atau komuniti, amalkan SOP supaya tidak dijangkiti," katanya

Menurutnya, kegagalan terhadap pematuhan SOP menyebabkan individu tersebut dijangkiti Covid-19.

"Walaupun terdapat saringan suhu, seperti yang sedia maklum, 60 hingga 70 peratus daripada pembawa adalah tidak bergejala. Inilah yang kita bimbangkan," katanya.

Beliau berkata, selain pematuhan SOP, KKM juga memperketatkan kehadiran ke Parlimen.

"Bagi pegawai kalau boleh gunakan sidang video, sekiranya keadaan memerlukan hadir ke parlimen, ujian saringan (swab test) perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan ujian berkala setiap dua minggu terhadap ahli Parlimen dan petugas, Dr Noor Hisham berharap ia dapat dipertimbangkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

"Kita harap mereka akan mempertimbangkan," katanya.

Ditanya mengenai polis bantuan yang dijangkiti Covid-19, beliau berkata, polis bantuan itu bertugas di Pejabat Perdana Menteri.

"Ada tugas khas yang memerlukannya ke Parlimen dan saringan yang dibuat mendapati dia positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, Kluster Seridana yang dikesan di Putrajaya itu adalah melibatkan lima polis bantuan.

Semalam, KKM melaporkan Kluster Seridana sebagai kluster terbaharu dengan empat kes positif Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!