Belanjawan 2021 harus jiwai rakyat
PADA hari Ahad baru-baru ini, penulis dan beberapa teman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah diamanahkan untuk mewakili parti pada sesi konsultasi Belanjawan 2021 di Kementerian Kewangan, Putrajaya.
Sesi selama hampir dua jam pada sebelah pagi itu adalah antara siri konsultasi bersama parti politik daripada kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
Sesi tersebut diadakan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar semua parti politik dapat mengetepikan perbezaan politik dan meluluskan satu bajet bagi membiayai usaha kerajaan menangani pandemik koronavirus (Covid-19) serta membantu meringankan beban rakyat yang banyak terkesan.
Penulis dan teman-teman daripada Pemuda UMNO bersyukur kerana dapat menyerahkan satu dokumen ‘Memorandum Suara Rakyat’ yang menggariskan beberapa fokus penting yang harus diberi penekanan pada Belanjawan 2021, antaranya meningkatkan aliran tunai rakyat, meningkatkan bilangan pekerjaan rakyat dan insentif khas untuk petugas barisan hadapan.
Penulis dan teman-teman pimpinan Pemuda UMNO sehingga hari ini masih menerima ribuan keluhan, cada-ngan dan pandangan rakyat yang mahu tindakan segera bagi membela nasib mereka yang semakin hari semakin sulit.
Ia dirumitkan lagi dengan serangan gelombang ketiga Covid-19 yang menyaksikan purata kes positif baharu mencecah lebih 700 kes sehari di seluruh Malaysia termasuklah Lembah Klang.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor sudah pasti bakal merencatkan kebangkitan semula perusahaan tempatan terutama mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Jangan kita lupa bahawa SME tempatan adalah ‘tulang belakang’ kepada ekonomi negara.
Pada tahun 2018, SME merangkumi 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan dalam negara dan menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta 66.2 peratus daripada jumlah pekerjaan dalam negara.
PKP pada Mac sehingga Mei 2020 menyaksikan ekonomi negara me-nguncup -17.1 peratus. Banyak pernia-gaan terkesan dan terpaksa menghentikan operasi, sekali gus ramai yang kehilangan kerja.
Bilangan mereka yang kehilangan pekerjaan sehingga hari ini telah meningkat kepada 800,000 individu. Mereka sebahagian besarnya adalah bapa dan ibu yang bekerja untuk menyara keluarga serta anak-anak.
Simpati
Penulis dan teman-teman Pemuda UMNO berasa sedih serta simpati apabila komen-komen yang diterima di media sosial atau mana-mana pertemuan menyatakan bahawa mereka ketandusan idea bagaimana mahu menghadapi hari-hari mendatang dengan ketiadaan pekerjaan dan kekurangan tunai. Kerajaan sahajalah tempat mereka mengadu nasib.
Kepantasan bertindak kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui pakej Prihatin dan Penjana untuk membantu rakyat serta menjana semula ekonomi negara wajar dipuji. Ratusan bilion ringgit diperuntukkan sehingga kerajaan terpaksa meminda had hutang bagi membolehkan kerajaan meminjam lebih. Semua itu demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat.
Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Ju-maat ini diharap dapat mengambil kira kesemua syor yang dicadangkan seperti dalam memorandum yang kami sediakan. Berikanlah rakyat yang terkesan khususnya, sedikit kelegaan dan lahirkan senyuman kegembiraan di wajah mereka.
Penulis teringat saranan seorang sahabat yang memetik sedikit dialog daripada siri drama The West Wing mengenai peranan kerajaan,
“... government, no matter what its failures in the past and in times to come, for that matter, government can be a place where people come together and where no one gets left behind. No one gets left behind. An instrument of good.”
Rakyat melihat kepada kerajaan tatkala negara dilanda krisis seperti Covid-19. Oleh itu besar harapan semua pihak agar Belanjawan 2021 diluluskan dan boleh memastikan tiada rakyat yang akan tertinggal kelak. Insya-ALLAH.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!