Harapan menggunung pengusaha IKS
SHAH ALAM - Golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) berharap mendapat peruntukan besar dan bantuan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini bagi memulihkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Yang Dipertua Usahanita Malaysia, Datuk Faridah A Jabbar berkata, bantuan kewangan perlu diberikan kepada persatuan kerana kira-kira 90 peratus keahlian adalah daripada golongan B40.
“Dana diperlukan untuk membantu golongan B40 menerusi kursus perniagaan dan suntikan modal bagi mengelakkan mereka terjebak dengan pinjaman tidak berlesen.
“Keahlian persatuan di seluruh negara adalah seramai 30,000 orang dan kebanyakannya merupakan ibu tunggal, usahawan daripada asnaf serta perintis baharu kami iaitu generasi muda,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Faridah yang telah bersama Usahanita selama 32 tahun berkata, pihaknya berharap bantuan yang bakal disalurkan menepati sasaran agar ahli-ahli dapat meneruskan kelangsungan hidup terutama ketika Covid-19 yang menjejaskan pendapatan mereka.
Sementara itu, peniaga dari Kepala Batas, Pulau Pinang, Zakiah Durani berharap Belanjawan 2021 banyak membantu usahawan selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 iaitu melahirkan lebih ramai usahawan unggul menjelang tahun 2030.
“Saya harap kerajaan lebih fokus kepada pengusaha IKS untuk memantapkan lagi ekonomi negara dan lebih telus menghulurkan bantuan secara berterusan.
“Kursus bisnes dalam talian atau program yang melibatkan penggunaan internet perlu diperkasakan dan dianjurkan secara percuma,” katanya yang mengusahakan perniagaan pakaian.
Zakiah juga berharap kerajaan dapat membenarkan pengeluaran caruman akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk digunakan rakyat yang berdepan Covid-19.
“Kami (peniaga) boleh gunakan wang tersebut untuk suntikan modal berniaga. Ketika ini kami sukar mendapatkan pinjaman sekiranya tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), khususnya peniaga kecil yang berniaga di rumah,” katanya.
Bagi Norhirdayu Jafri, 30, yang mengusahakan perniagaan bebola ubi keledek sejak awal tahun ini, harapannya agar Belanjawan 2021 memberi ruang dan peluang kepada peniaga kecil-kecilan untuk ‘bernafas’ sepanjang tempoh sukar.
“Banyak sebenarnya harapan kami sebagai peniaga kecil. Ditambah pula ketika pandemik, bantuan kerajaan memang sangat diperlukan,” katanya.
Platform
Menurutnya lagi, kerajaan juga mungkin boleh mewujudkan platform perniagaan secara e-market agar produk mereka dapat dipasarkan menerusi platform tersebut, namun tertakluk kepada peniaga dalam negara sahaja.
Norhirdayu turut berharap agar kerajaan mempertimbangkan pengurangan yuran untuk mendapatkan lesen perniagaan.
“Jika kos pendaftaran SSM dan lesen perniagaan dapat dikurangkan atau di-berikan percuma, ia adalah hadiah sangat bermakna untuk kami terus bertahan,” katanya.
Pendapat itu turut disokong peniaga, Mohd Khairul Azman, 33, yang mengharapkan Belanjawan 2021 dapat menyediakan satu inisiatif baharu bagi membantu peniaga yang terjejas.
“Tentunya saya juga berharap agar kerajaan terus menyokong usahawan tempatan kerana kebanyakan produk tempatan mempunyai potensi untuk berkembang di pasaran luar negara,” katanya.
Pengusaha restoran dan katering, Mohd Faizan Dasuki pula berharap tiga insentif bantuan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan bagi membantu golongan peniaga.
Menurut pemilik Restoran Nasi Kukus Antarabangsa di Ayer 8 Putrajaya itu, pengurangan sebanyak 50 peratus pembayaran bil elektrik dan bil air perlu diberi keutamaan.
“Dalam keadaan perniagaan yang lembab, kos itu amat tinggi. Kami tidak mampu menanggung kos itu sepenuhnya, jadi bantuan subsidi amat diperlukan.
“Kedua, kami mohon kerajaan melanjutkan program subsidi upah agar kami dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Kami percaya, ia dapat memacu ekonomi dengan baik.
“Selain itu, kami mohon diberi pengecualian lesen perniagaan dan iklan untuk permohonan baharu dan pembaharuan tahun 2021 kerana kos lesen perniagaan dan iklan agak tinggi,” katanya.
Berlainan pula pandangan peniaga muda, Abdul Rahman Mohd Jamadi, 23, yang mahu kerajaan fokus kepada perniagaan teknologi seiring Revolusi Industri 4.0 kerana ia turut menyumbang kepada aktiviti harian rakyat.
“Saya harap lebih banyak dana di-berikan kepada perniagaan seperti komputer riba, telefon pintar, pembangunan laman web percuma, aplikasi atau sistem pembangunan kerana modal diperlukan agak tinggi bagi membesarkan syarikat terutama perniagaan peralatan gajet.
“Ketika ini, pembelajaran dalam talian dan kerja dari rumah menjadi amalan norma baharu, sekali gus menyebabkan permintaan tinggi bagi perniagaan komputer riba dan telefon pintar.
“Di sinilah peluang terbaik untuk memulakan perniagaan berkaitan, jadi kerajaan perlu peka dengan perkara sebegini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!