Belanjawan ‘mandi besar’ RM500 bilion
[LAPORAN KHAS] Dua hari lagi kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentangkan belanjawan paling bersejarah di Malaysia. Belanjawan 2021 ketika saat seluruh dunia dan Malaysia berada dalam keadaan paling sukar. Rakyat dan ekonomi negara hampir dalam keadaan vakum dan jatuh merudum selama beberapa bulan.
Setiap rakyat Malaysia akan bertanya apa yang saya dapat? Kini di bahu Muhyiddin bersama panglima Kabinetnya terpikul satu tugas berat.
Dalam keadaan paling sukar dengan tahun 2021 yang belum tampak bebas sepenuhnya daripada Covid-19, bagaimanakah Belanjawan 2021 ini harus boleh memberikan kelegaan kepada rakyat Malaysia. Wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha, Liza Mokhtar dan Rosalwani Che Soh mengupas secara mendalam mengenai Belanjawan 2021.
Pakar-pakar ekonomi dan kewangan negara menjangkakan kerajaan bakal membuat satu belanjawan besar untuk tahun 2021 bagi merangsang ekonomi negara dan membantu sebanyak mungkin rakyat Malaysia yang kini hidup dihimpit kesusahan akibat Covid-19.
Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, beliau menjangkakan kerajaan bakal membuat satu belanjawan big bath atau ‘mandi besar’ sehingga sekitar RM500 bilion untuk Belanjawan 2021.
Katanya, peruntukan besar sehingga dua kali ganda berbanding tahun lalu adalah amat diperlukan bagi memastikan Malaysia menang dalam peperangan melawan Covid-19.“Kita perlukan belanjawan besar dan ahli-ahli Parlimen pun berjanji akan sokong belanjawan ini.
“Baik penganalisis ekonomi atau pun pelabur asing, mereka tidak akan melabel kita sebagai boros walaupun belanjawan ini dua kali ganda daripada belanjawan biasa sebelum ini iaitu sekitar RM297 bilion,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Sinar Harian di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Kata Barjoyai yang juga pensyarah ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, bajet tahun depan perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kerana kerajaan hakikatnya perlu memandang serius angka 750,000 orang yang kini sedang menganggur.
“Namun apa yang harus ditekankan juga adalah berkait dengan graduan menganggur iaitu hampir 500,000 graduan akan menganggur setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Barjoyai juga menggesa rakyat Malaysia turut mengambil inisiatif untuk meningkatkan ekonomi.
“Sebenarnya di Malaysia, 15.8 juta rakyat merupakan pekerja atau bermaksud kebanyakan mereka terlibat dan bergantung pada sektor pekerjaan semata-mata.
“Bidang pekerjaan di Malaysia hakikatnya, tidaklah menarik kerana kadar upah rendah dan majikan hanya kongsi 30 peratus pendapatan mereka sebagai gaji pekerja berbanding negara luar kongsi 60 peratus keuntungan untuk gaji pekerja,” katanya.
Justeru itu, beliau mengakui ‘gig ekonomi’ sebagai contohnya adalah sebuah model ekonomi yang baik buat masa ini di Malaysia.
Menurutnya, perniagaan dalam talian dan grab adalah antara contoh konsep gig ekonomi.Dalam pada itu, seorang lagi pakar ekonomi yang juga Pengarah Urusan DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid mencadangkan kerajaan tidak kedekut untuk berbelanja pada Belanjawan 2021 terutamanya dalam membantu golongan miskin.
“Kadar kemiskinan mutlak semakin meningkat di ibu kota dan krisis kian menekan, maka kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) perlu mengeluarkan belanja yang lebih banyak untuk rakyat dan jangan kedekut.“Jangan fikir bebanan hutang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja, namun kerajaan perlu fikir ekoran wabak berbahaya ini, ramai rakyat dari hari ke sehari meninggal dunia ekoran terkena jangkitan wabak koronavirus dan kerajaan harus bertindak keluarkan belanja besar
“Di negara kita secara purata, seorang dari dua penduduk akan jatuh miskin dan secara relatifnya ia menunjukkan keadaan ini amat menekan,” katanya yang turut menjalankan kajian kesan pandemik Covid-19 ke atas golongan B40 di Lembah Klang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!