Jangan saman orang susah berniaga tepi jalan
[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - “Jika sebelum ini terdapat 10 orang pemohon bantuan, namun disebabkan situasi Covid-19 jumlah tersebut boleh dikatakan meningkat kepada 30 orang pemohon.
“Mereka yang memerlukan bantuan ini bukan hanya golongan asnaf tetapi juga mereka yang kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap,” ujar pemilik nama Kuan Chee Heng atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Menurut aktivis masyarakat yang terkenal kerana sering membantu golongan kurang berkemampuan itu, banyak sektor pekerjaan seperti perhotelan dan penerbangan tergendala gara-gara Covid-19 sehingga ada yang terpaksa menceburi bidang pekerjaan baharu demi kelangsungan hidup.
“Saya sendiri pernah dihubungi pramugara dan pramugari yang meminta bantuan untuk mempromosi produk dan perniagaan mereka,” katanya sambil mengakui mereka yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah Melayu, Cina dan India.
Namun Uncle Kentang berkata, situasi sukar itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berputus asa kerana setiap ujian pasti ada jalan penyelesaian.
“Sekarang pun kita dapat melihat ramai yang mengusahakan food truck dan gerai-gerai di tepi jalan, itu membuktikan usaha golongan ini meneruskan kelangsungan hidup.
“Sehubungan itu, saya berharap kerajaan dapat mempermudahkan urusan mereka misalnya, memudahkan urusan mendapat permit sementara selain memberi kelonggaran dengan tidak mengenakan saman pada waktu-waktu sukar ini,” katanya lagi.
Tegas Uncle Kentang, rata-rata rakyat Malaysia rajin berusaha dan tidak hanya sekadar mengharap bantuan kerajaan sebaliknya yang menjadi keutamaan pada ketika ini adalah jalan yang mampu membantu mereka keluar daripada kesusahan.
“Sedekah terbaik adalah memberi jalan (kemudahan) kepada golongan susah ini berbanding sedekah wang. Jangan beri ikan sebaliknya berikan mereka joran,” ujar Uncle Kentang penuh semangat.
Ditanya tentang Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini, Uncle Kentang percaya, peruntukan belanjawan kali ini akan menumpukan kepada aspek kesihatan seperti penyelidikan vaksin Covid-19.
“Apapun butiran Belanjawan 2021 kelak, kita sebagai rakyat Malaysia tidak harus berputus asa. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, rakyat akan tetap bersama kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!