Perak tetap hormati Kelantan United
PERAK diingatkan tidak memandang rendah keupayaan Kelantan United menjelang aksi pusingan pertama TM Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh Sabtu ini.
Kapten Perak, Shahrul Saad berkata, perbezaan status antara kedua-dua pasukan tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan Kelantan United yang dilihat mampu mencipta kejutan jika The Bos Gaurus beraksi sambil lewa.
“Bagi saya Piala Malaysia kali ini cukup berbeza kerana ia menggunakan format kalah mati bermula pusingan pertama lagi. Jadi setiap pasukan mempunyai peluang sama rata.
“Walaupun Kelantan United pendatang baharu Piala Malaysia dan beraksi dalam Liga Premier musim ini tetapi kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan itu nanti.
“Kami perlu melihat Kelantan United sepertimana pasukan-pasukan lain. Jadi saya harap para pemain Perak dapat memberi fokus sepenuhnya apabila turun menentang Kelantan United,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.
Shahrul memberitahu, The Bos Gaurus harus bermula dengan langkah kanan dalam pemburuan kejuaraan Piala Malaysia sekiranya mahu melangkah lebih jauh pada kempen kali ini.
“Misi dan matlamat kami adalah untuk melakukan yang terbaik bagi memenangi semula Piala Malaysia. Bagi merealisasikan sasaran itu, kami perlu bermula baik seawal pusingan pertama ini.
“Yang penting setiap pemain perlu kekal fokus dan memberikan komitmen 100 peratus bagi mengharungi saingan Piala Malaysia kali ini. Saya juga harap tiada masalah kecederaan pemain berlaku sepanjang Piala Malaysia nanti,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!