Tidak pernah pudar rasa hormat dan kasih pada Tun, kata Dr Maszlee
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik hari ini menegaskan tidak pernah pudar rasa hormat dan kasihnya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Maszlee menyifatkan ketidaksetujuan di antara mereka dalam hala tuju politik ke hadapan tidak pernah mengurangkan rasa hormatnya itu malah beliau kagum kepada sosok besar negara itu.
Katanya, jatuh bangun negara dari padang pasir tandus sehingga tersergam menara berkembar tertinggi di dunia, sosok itu ada memerhati dan merakam cermat sejarah jatuh bangun anak bangsa.
"Meskipun wadah dan fahaman politik kita berbeza, sentiasa ada sosok yang layak kita tumpahkan hormat kerana jasa besar mereka buat kita, buat negara, teramatlah banyak.
"Sentiasa tak kurang maruah dan keperibadian kita, saat kita sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berbeza dengan kita dalam apa perkara sekali pun," katanya di laman Facebooknya hari ini.
Malah bekas Menteri Pendidikan itu berharap agar hubungan baiknya dengan bekas Perdana Menteri itu akan terus kekal terjalin utuh.
"Doa saya buat Tun sentiasa terutus dan hubungan baik antara saya dan beliau juga akan terus terpelihara. Tak pernah ada kebencian, apalagi dendam dan amarah walau sekelumit.
"Kepada Tun, saya ucapkan teruskan perjuangan," kata Dr Maszlee.
Dalam pada itu, Dr Maszlee turut berkongsi pengalaman awal kerjaya politiknya dan berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana melantiknya sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini.
Katanya, ketika pertama kali melangkah ke dalam dunia politik dengan serba keraguan dan ketidaktentuan nasib, insan itu berpesan mengingatkan dirinya bahawa politik ialah kerja-kerja membangun bangsa dan negara.
Menurut Dr Maszlee, bekas Perdana Menteri itu juga ada memaklumkan bahawa realiti politik adalah berbeza dengan segala teori yang diajarkan dan dituliskan lewat kehidupan akademiknya dahulu.
"Saya berterima kasih kepada Tun kerana melantik saya sebagai Menteri Pendidikan walaupun dalam tempoh cuma 20 bulan, sebelum Tun meminta saya memulangkannya semula pada 3 Januari lalu.
"20 bulan cukup membuka mata dan kesedaran saya, sehingga menumbuhkan tekad yang kuat di hati saya bahawa perjuangan pendidikan adalah satu kefarduan.
"Fardu ini tidak boleh berhenti, walau siapa pun saya, dan di mana pun saya berada," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa perjuangan barunya kini sudah bermula iaitu gerakan perubahan dalam pendidikan selain memberikan tumpuan kepada Parlimennya.
"Tumpuan hakiki saya selain Simpang Renggam tentunya memulakan gerakan perubahan pendidikan berskala besar yang memungkinkan sesiapa sahaja untuk membuat perubahan.
"Kerana saya percaya masa depan negara bergantung kepada pendidikan negara. Rosak pendidikan, rosaklah masa depan. Saya juga yakin kedudukan juga kuasa bukanlah penentu kepada keberlangsungan perubahan.
"Tetapi percaya, iltizam, tekad dan kesempatan, semuanya bisa menukar harapan dan impian menjadi realiti, insyaALLAH doakan!" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!