Sindiket perjudian jadikan perumahan mewah sebagai sarang tumpas

Mohamad Noor (kanan) melihat kakitangan TNB membuat pemotongan elektrik di sebuah rumah yang dijadikan sebagai pusat judi dalam talian di Taman Pelindung hari ini.
Mohamad Noor (kanan) melihat kakitangan TNB membuat pemotongan elektrik di sebuah rumah yang dijadikan sebagai pusat judi dalam talian di Taman Pelindung hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan sindiket perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik perumahan mewah di Taman Pelindung di sini terbongkar apabila diserbu polis kelmarin.

Pusat perjudian yang baru beroperasi dua bulan itu dikesan hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam serbuan kira-kira 9.30 malam itu, polis menahan tiga lelaki berusia 21 hingga 27 tahun dan merampas sembilan komputer serta 30 telefon bimbit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti pengiklanan dan mempromosikan perjudian secara dalam talian melalui Facebook, Telegram, WeChat, MiChat dan WhatsApp dengan menggunakan komputer.

Pihak polis menunjukkan barang yang dirampas di sebuah rumah di Taman Pelindung.
Pihak polis menunjukkan barang yang dirampas di sebuah rumah di Taman Pelindung.

"Telefon bimbit pula dijadikan sebagai 'topup point' iaitu memasukkan kredit melalui perbankan internet dan semua pekerja sindiket itu mempunyai tugas masing-masing untuk mengendalikan komputer dan telefon bimbit yang dibayar gaji sekitar RM2,000 sebulan.

"Tiada wang tunai yang dirampas ketika serbuan, namun melalui semakan dalam sistem menunjukkan sindiket ini memperoleh kutipan sebanyak RM4,000 sehingga RM7,000 sehari," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Pelindung hari ini.

Mohamad Noor berkata, selain itu polis turut merampas dadah jenis syabu dan pil ecstasy di rumah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Saringan ujian air kencing juga mendapati dua suspek positif dadah.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sehingga 6 November ini," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini sanggup membayar sewa kira-kira RM4,000 sebulan di perumahan elit bagi menjalankan operasi itu.

Kakitangan TNB membuat pemotongan elektrik.
Kakitangan TNB membuat pemotongan elektrik.

"Siasatan lanjut juga sedang jalankan bagi memastikan sama ada pemiliknya mengetahui atau tidak rumahnya digunakan bagi kegiatan haram ini.

"Bekalan elektrik di rumah berkenaan juga sudah dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak lapan premis di sekitar Kuantan telah dikenakan pemotongan elektrik oleh TNB melalui kerjasama dengan polis

sepanjang tahun ini.

"Daripada jumlah itu, tiga adalah kediaman manakala lima lagi merupakan premis perniagaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!