Pemburuan haram: Enam diberkas, kuku harimau dirampas
JOHOR BAHRU - Enam lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram dan memiliki senjata api buatan sendiri dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan bermula pada 21 Oktober sehingga semalam membabitkan polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.
Katanya, serbuan terbaru semalam dilakukan di sebuah premis dalam ladang Landak, di Paloh, Kluang pada jam 11.40 malam dan melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 57 tahun selain beberapa bahagian badan haiwan eksotik turut dirampas.
"Kita menemukan bahagian kijang dalam periuk selain kuku disyaki kuku harimau. Kita turut merampas empat laras senjata buatan sendiri, 95 butir peluru hidup dan dua telefon bimbit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Johor, Datuk Md Yusof Ahmad dan Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Salman Saaban.
Sebelum itu katanya, dalam operasi pada jam 3.45 petang 21 Oktober lalu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama-sama Perhilitan Zon Selatan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Jaya, Kluang.
Menurutnya, polis merampas tiga laras senapang angin buatan sendiri, 10 butir peluru bore hijau, 10 butir peluru bore tembaga dan tiga butir peluru disyaki jarum suntikan pelali.
Turut dirampas katanya, pam kaki, batang besi disyaki barel, dua bilang parang panjang, trofi kepala kijang, dua ekor musang pandan, dua ekor kera, empat ekor burung Bayan dan dua ekor burung parakeet yang semuanya diletakkan dalam sangkar berlainan.
Susulan itu, menurut Ayob, satu operasi pada hari yang sama pada jam 12 tengah malam, tiga lelaki berusia 22 hingga 51 tahun ditahan di Taman Seri Jaya, Pekan Nenas dan di sebuah ladang di Pulai, Kulai.
"Kita merampas tiga laras senapang angin buatan sendiri, mesin gergaji dan beberapa peralatan elektrik lain serta ekor bangkai hidupan liar disyaki ayam hutan.
"Satu lagi serbuan dilakukan pada jam 2.30 petang 25 Oktober lalu dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Taman Seri Jaya, Kluang kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama.
Beliau berkata, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 69 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!