1,032 kes positif Covid-19, 8 kematian dicatatkan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia hari ini sekali lagi mencatatkan empat angka iaitu 1,032 kes, sekali gus menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu kepada 10,339 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif itu 1,029 adalah kes penularan dalam negara, manakala tiga lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, masing-masing satu kes dari India, Singapura dan Filipina.
“Kesemua kes baharu hari ini melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 646, Selangor (231), Negeri Sembilan (44), Labuan (28), Kedah (25), Pulau Pinang (23), Sarawak (9).
“Kuala Lumpur pula sebanyak tujuh kes, Perak (6), Putrajaya (4), Terengganu (3), Kelantan (2) dan Johor (1),” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kes pulih Covid-19 hari ini mencatatkan sebanyak 820 kes menjadikan kumulatif kes pulih sepenuhnya sehingga kini sebanyak 24,815 kes atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Selain itu, terdapat lapan kes kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah 271 kes, manakala 82 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan. - Bernama
1,032 kes baharu hari ini masih dalam unjuran KKM iaitu kes masih meningkat tetapi tidak melonjak. Kes baharu akan mula berkurang jika nilai R naught diturunkan di bawah 0.5. Justeru, KKM akan terus meningkatkan aktiviti kesihatan awam.
— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) November 4, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!