Polis sedang lengkapkan kertas siasatan kes anggota polis maut
JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang melengkapkan kertas siasatan kes kemalangan maut yang melibatkan anggota polis dalam kejadian di Kampung Kangkar Tebrau di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sejurus selesai siasatan terhadap empat suspek yang masih direman ketika ini, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.
"Kita tengah menyiapkan kertas siasatan dan akan dipanjangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dapatkan arahan tuduh," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Johor, Datuk Md Yusof Ahmad dan Pengarah Jabatan Perhilitan (Perhilitan) Negeri Johor, Salman Saaban.
Dalam kejadian tersebut, Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, yang memandu MPV polis cedera parah.
Dalam kejadian pada jam 5 pagi itu, MPV dinaiki dua anggota polis itu bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi ketika mengejar penjenayah sebelum terbalik.
Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, keadaan Mohd Fadhirul yang sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sudah semakin pulih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!