Polis Johor batal syarat memburu 823 pelesen senjata api
JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Polis membatalkan syarat memburu terhadap 823 pelesen senjata api di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu kerana terdapat pemegang lesen senjata api yang menyalahgunakan senjata api.
Menurutnya, selepas ini syarat permohonan lesen senjata api akan diperketatkan termasuk permohonan untuk perbaharui lesen.
"Bagi semua pemegang senjata api berlesen, polis memberi amaran tegas untuk membuat semakan ke atas penggunaan senjata api bagi memastikan tiada pelanggaran syarat ditetapkan.
"Pihak Jabatan Perhilitan Johor juga tidak lagi mengeluarkan sebarang permit memburu kepada mana-mana pihak sejak 28 Januari lalu," katanya dalam sidang sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Johor, Datuk Md Yusof Ahmad dan Pengarah Jabatan Perhilitan (Perhilitan) Negeri Johor, Salman Saaban.
Beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan pembatalan lapan pemegang lesen senjata api dan satu lesen milik syarikat kawalan keselamatan.
Menurutnya, tindakan itu susulan penahanan seorang pemilik syarikat keselamatan bersama-sama lapan rakannya termasuk tiga warganegara asing berusia lingkungan 27 hingga 59 tahun berhampiran empangan Felda Linggiu, Kota Tinggi pada 30 Ogos lalu.
"Pihak polis merampas sepucuk pistol jenama Glock 17, 15 butir peluru 9MM, selaras senapang patah jenama Adler dan 32 butir peluru 12 bore.
"Hasil soal siasat pada 1 September lalu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor membuat serbuan susulan di sebuah rumah di Tampoi Utama di sini," katanya.
Katanya, pihaknya merampas 3,357 butir peluru pelbagai jenis dan sepucuk pistol air soft.
"Turut ditahan dalam serbuan ini isteri kepada ahli perniagaan tersebut yang berusia 45 tahun, kes disiasat di bawah kesalahan memiliki senjata dan amunisi secara tidak sah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!