Bayi dihurungi semut ada kesan darah
MELAKA - Seorang bayi lelaki yang masih berdarah ditemui di kawasan semak di Jalan Sidang Hassan Bukit Katil di sini petang tadi.
Bayi lelaki yang dipercayai dibuang dan dihurung semut dan masih berdarah itu ditemui oleh seorang wanita di kawasan semak di Jalan Sidang Hassan Bukit Katil di sini petang tadi.
Yuszida Hashim, 40, berkata, bayi yang masih bertali pusat ditemui sekumpulan kanak-kanak berbasikal di kawasan berhampiran semak terbabit sebelum dia kebetulan melalui jalan itu dengan menunggang motosikal kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya, dia segera mengangkat bayi yang dibalut dengan sehelai baju berwarna hitam yang hampir menutup mukanya, lalu memeluk bayi terbabit untuk mengurangkan tangisan sebelum meminta salah seorang kanak-kakak terbabit meminta sehelai kain batik dari rumah penduduk berdekatan untuk membalut bayi berkenaan.
"Mengigil dan menangis saya ketika melihat keadaan bayi itu, walaupun rasa serba salah lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik koronavirus (Covid-19) namun dalam fikiran saya ketika itu bayi itu perlu diselamatkan lebih-lebih lagi cuaca agak panas dan kakinya bercalar terkena lalang.
"Sedih rasa hati bila saya angkat di belakang bayi itu bukan sahaja penuh najis malah semut telah mula menghurungi bayi tersebut," katanya sebelum salah seorang penduduk menghubungi ambulans dan polis," katanya ketika ditemui di sini, hari ini
Tambahnya, dia percaya bayi berkulit cerah itu baharu dibuang kira-kira 10 minit sebelum dia berpatah balik dari sebuah kedai pisang goreng untuk pulang ke rumah di Taman Bukit Katil.
"Tadi masa saya lalu jalan ini untuk ke kedai kejadian, masih tiada apa-apa yang belaku, namun apabila patah balik memang tekejut ada bayi di semak dan saya terus menghubungi suami yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk beritahu kejadian itu," kata ibu kepada dua anak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kes itu dari seorang lelaki yang menghubungi Balai Bukit Baru jam 3.05 petang.
Menurutnya, bayi seberat 2.2 kilogram (kg) sedang menerima rawatan di Wad Kanak-Kanak Hospital Melaka dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya, siasatan lanjut mendapati bayi lelaki itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan diberikan bantuan pernafasan kerana mengalami masalah jangkitan dan pernafasan bayi laju.
"Laporan hospital yang diterima mengatakan fizikal bayi juga dalam keadaan yang baik selain dipercayai bayi lahir dalam cukup bulan.
"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!