Penunjuk perasaan bakar bendera AS di bandar Portland
PORTLAND - Kumpulan penunjuk perasaan membakar bendera kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dan berarak di jalan utama di bandar Portland, Oregon selepas waktu mengundi pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 berakhir awal pagi tadi.
Demonstrasi itu dilancarkan selepas Presiden Donald Trump mengumumkan kemenangannya walaupun negeri yang mempertandingkan kerusi panas masih melakukan kiraan undi.
"Kami tidak menyokong mana-mana calon. Saya terpaksa mengundi Joe Biden. Tetapi, rakyat akan berang jika Trump dapat mengekalkan jawatannya untuk tempoh empat tahun lagi," kata salah seorang peserta protes.
Peserta protes itu kemudiannya berhimpun di luar Mahkamah Persekutuan Portland yang menjadi pusat tunjuk perasaan antirasisme pada Jun lalu.
Mereka turut melaungkan slogan anti-Trump dan Datuk Bandar Portland, Ted Wheeler yang menang pada pemilihan semula semalam sebahagiannya ada yang menari dan melakukan aksi 'twerk' dengan diiringi muzik hip-hop.
Perarakan selama tiga jam itu dipimpin oleh sebuah konvoi bersama enam penunjuk perasaan yang membawa senjata termasuk senapang.
"Saya dengar Trump sedang mendapat momentum. Huru-hara pasti akan berlaku tidak kira apa keputusannya," kata penunjuk perasaan dikenali sebagai Ty Ford, 20.
Terdahulu, Portland turut dilanda perarakan secara aman oleh ahli gerakan Black Lives Matter di sekitar timur bandar terbabit.
Sebelum ini, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran berhubung pertempuran bersenjata yang berpotensi tercetus di bandar barat laut AS tersebut, namun tiada insiden sedemikian dicetuskan gerakan haluan kanan seperti kumpulan pro-Trump, Proud Boys. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!