Dua anggota polis cedera dirempuh kereta di balai polis
PARIT - Dua anggota polis cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki warga emas berusia 64 tahun dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu menyebabkan dua anggota terbabit tercampak dan sebuah motosikal terseret sejauh 100 meter.
Pemangku Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, kejadian itu turut merosakkan Proton Preve milik PDRM.
“Sebelum kejadian, suspek terlibat dalam satu kemalangan di lampu isyarat berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar telah dibawa ke Balai Polis Seri Iskandar.
“Semasa tiba di pondok pengawal, suspek tiba-tiba mengundurkan keretanya secara mengejut dan melanggar bahagian hadapan kereta trafik pasukan yang kebetulan berhenti di belakang kereta tersebut,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak memecut masuk ke kawasan balai lalu melanggar dua anggota yang mahu keluar bertugas.
“Suspek dikejar oleh beberapa orang anggota dan kenderaan berhenti selepas melanggar sebatang pokok di tepi Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran pintu gerbang perumahan polis dan suspek berjaya diberkas.
“Motif kejadian belum dapat dipastikan dan pemeriksaan awal dapati tangkapan tidak berada dalam keadaan mabuk tetapi bercakap seorang diri dipercayai mengalami halusinasi,” katanya.
Nik Rosdi berkata, suspek dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk diambil sampel ujian darah manakala dua anggota terlibat menerima rawatan lanjut di hospital sama.
“Rampasan ke atas kenderaan tersebut dilakukan untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan tidak menemui apa-apa barang salah.
“Semakan rekod lampau dapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau. Suspek tidak alami apa-apa kecederaan,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh selain kesalahan memandu melulu sehingga menyebabkan kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!