Normal baharu berpandukan al-Quran
SHAH ALAM - Al-Quran mempunyai kandungan yang sarat tetapi cukup hebat untuk dijadikan panduan kepada manusia bagi mencari solusi termasuk dalam aspek berkaitan ekonomi.
Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, berdasarkan konteks tersebut, al-Quran sebenarnya banyak memberi sentuhan bukan sahaja kepada landskap ekonomi, malah dalam aspek sosial, politik, pendidikan, keluarga, kejiranan dan sebagainya.
Beliau berkata, dari segi ekonomi, al-Quran sebenarnya banyak memberi mesej-mesej ekonomi pada masa depan tentang rangkaian atau jaringan keselamatan sosial, berkaitan orang sakit, tiada kerja dan lain-lain.
“Asas-asas tentang perkara ini sudah ada pada zaman Makkah dan ketika berlaku hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ke Madinah, timbul satu landskap normal baharu pada zaman itu di mana mereka terpaksa menggunakan apa yang ada sebagai sumber makanan, air, cahaya termasuk jalan raya kerana mereka memiliki kerajaan baharu pada zaman tersebut.
“Jika dilihat pada masa ini, kita juga menjalani normal baharu ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) tetapi harus diingat ia bukan yang pertama dan terakhir kerana mungkin akan ada lagi normal-normal baharu yang lebih mengancam pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran Siri 13 bertajuk ‘Landskap Ekonomi Norma Baharu’ yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Turut menjadi panelis, Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan Surah al-Balad serta surah-surah berkaitan.
Justeru, Mohd Daud berkata, umat Islam perlu bersedia dengan mengambil gelombang-gelombang al-Quran terutamanya dari segi rohani dan spiritual untuk terus melihat ke depan secara positif bagi menghadapi ujian Covid-19.
Tegasnya, al-Quran juga memberikan penawaran (inspirasi) dalam pelbagai aspek yang sesuai sepanjang zaman, maka umat Islam juga perlu pandai membuat permintaan dengan melihat sektor apakah yang sesuai dengan ekonomi pada zaman pandemik Covid-19 ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!