Pelaksanaan parkir berbayar Pekan Dengkil kekal
DENGKIL- Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tidak berhasrat menangguhkan pelaksanaan tempat letak kenderaan berbayar bermula 1 Januari depan walaupun dibantah warga Dengkil.
Yang dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain, perancangan tersebut tidak dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya telah dirangka dan diluluskan sejak Jun 2014 lagi.
Menurutnya, pelaksanaan tempat letak kenderaan berbayar ini terlebih dulu dilaksanakan di Cyberjaya pada 2015 dan Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) pada 2016.
"Pelaksanaannya adalah untuk memastikan perancangan bandar yang lebih tersusun selaras dengan Kajian Reka Bentuk Bandar Dengkil dan memudahkan penguatkuasaan.
"Ia juga bertujuan mengawal aktiviti tidak berkenaan serta mengelakkan lambakan kenderaan buruk atau terbiar di petak-petak parkir yang menghalang pengguna lain daripada menggunakan kemudahan itu," katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga Dengkil persoal pelaksanaan caj parkir
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian bertarikh 31 Oktober lalu bertajuk 'Warga Dengkil persoal pelaksanaan caj parkir'.
Menurut laporan itu, pelaksanaan parkir berbayar ketika rakyat masih dibebani pandemik koronavirus (Covid-19) mengecewakan penduduk Dengkil.
Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata, MPSepang bersetuju untuk memberikan insentif kepada pengguna di peringkat permulaan pelaksaan sistem baharu itu.
"Pengguna tidak dikenakan bayaran bagi 30 minit pertama (sehari 1 kali sahaja) dengan syarat pengguna hendaklah menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking atau Flexi Parking," katanya.
Katanya lagi, pelaksanaan parkir berbayar ini adalah salah satu fungsi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan juga di mana-mana PBT di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!