Polis sahkan cecair di 'kubur berdarah' bukan darah

Laporan Sinar Harian pada 19 September lalu. Gambar kecil: Hasanuddin Hassan
Laporan Sinar Harian pada 19 September lalu. Gambar kecil: Hasanuddin Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Cecair merah ditemui di sebuah kubur di Masjid Al-Irfan Derga, dekat sini yang menggemparkan negara pada September lalu dikenal pasti bukanlah darah sebaliknya merupakan campuran bahan seperti cat dan minyak.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya percaya kejadian itu diwujudkan segelintir individu yang disifatkan sebagai 'nakal' bagi menarik perhatian orang ramai.

Menurutnya, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan yang dibuat oleh polis.

"Hasil siasatan dan kajian saintifik yang telah dilakukan oleh pihak kami mendapati warna yang dikatakan darah itu sebenarnya adalah cecair yang dicampurkan dengan bahan-bahan tertentu seperti minyak dan cat.

"Jika dilihat cecair itu memang macam darah tetapi bukan sebenarnya. Kubur itu masih baharu dan kebetulan ada lekuk, mudah untuk mereka letakkan benda itu (cecair merah)," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dekat sini hari ini.

Pada 19 September lalu, Sinar Harian melaporkan video sebuah 'kubur berdarah' di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al-Irfan, Derga, di sini menjadi tular di laman sosial.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan kejadian aneh menggemparkan masyarakat setempat sekitar bandar raya Alor Setar hingga ramai penduduk datang untuk melihat sendiri keadaan itu.

Setiausaha Masjid Al-Irfan, Yahya Saad berkata, beliau mengetahui kejadian di masjid terbabit selepas dimaklumkan beberapa kakitangan Masjid Al-Irfan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular video 'kubur berdarah'

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!