MB nafi Selangor hilang rizab RM1 bilion

Amirudin (dua dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PKPS dan FAMA secara maya di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Shah Alam hari ini.
Amirudin (dua dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PKPS dan FAMA secara maya di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan bahawa Selangor kehilangan rizab bernilai lebih RM1 bilion selepas tahun 2014.

Amirudin berkata, wang berkenaan tidak hilang sebaliknya ia digunakan dalam peruntukan kerajaan negeri bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya terpaksa melakukan penjajaran semula beberapa program berikutan penggunaan wang berkenaan dilihat tidak mampan bagi pelaksanaan inisiatif seperti Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dan lain-lain.

"Banyak yang kita laksanakan (menggunakan wang itu) tertumpu kepada pembangunan infrastruktur. Antaranya seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang yang menelan belanja RM700 juta.

"Kalau (wang itu digunakan) untuk infrastruktur, ia akan bertahan dan boleh menjana pendapatan demi keselesaan penduduk," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) secara maya di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menerusi sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2021 meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kehilangan rizab bernilai lebih RM1 bilion selepas zaman pemerintahan Menteri Besar Selangor sebelum ini, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis menandatangani MoU tersebut, Amirudin berkata, PKPS dan FAMA akan bersama-sama meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan serta rantaian pemasaran agro bagi jaminan keselamatan makanan di negeri ini.

"Pengalaman dan pengetahuan teknikal FAMA dalam mengendalikan kemudahan penyimpanan makanan atau Pusat Operasi (PO) menjadi teras kepada perkongsian strategik ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, PKPS dan FAMA juga akan memanfaatkan perkongsian data pasaran, pangkalan data pembekal, petani serta penggunaan rangkaian pemasaran termasuk pasaran antarabangsa menerusi kerjasama berkenaan.

"PKPS sedang meneliti kaedah mengoperasikan PO sendiri selain mengenal pasti lokasi strategik untuk membangunkan kemudahan ini.

"Dengan adanya PO, hasil pertanian bagi usahawan-usahawan tani PKPS dapat diuruskan dengan lebih baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!