Kerajaan mungkin isytihar darurat jika perlu, kata Takiyuddin
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Sarawak sekiranya perlu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dipertimbangkan sekiranya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) semakin bertambah memandangkan kedua-dua kawasan itu bakal berdepan pilihan raya dalam sama terdekat.
"Dalam Artikel 150 jelas Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk adakan proklamasi darurat seluruh negara atau mana-mana bahagian.
"Sekiranya dirasakan perlu mungkin kerajaan akan fikirkan. Kalau tak keseluruhan, mungkin mana-mana bahagian," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berhubung sama ada bercadang untuk menghadap Al-Sultan Abdullah sekali lagi bagi mendapat perkenan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan tertentu seperti Batu Sapi dan Sarawak.
Menurut Takiyuddin, secara asasnya dari segi Perlembagaan pengisytiharan darurat adalah dibolehkan.