Ikrar kontena kosong tapi rupanya sumbat kereta terpakai
JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas lima kereta dalam sebuah kontena di sebuah premis depoh kontena di Jalan Emas 3, Pasir Gudang, dekat sini pada 21 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, pemeriksaan yang dilakukan pada jam 6.30 petang dalam kontena bersaiz 40 kaki itu menemukan lima kereta terpakai.
"Kereta yang ditemui adalah Toyota Fun Cargo, Toyota Allion dan Toyota Vitz selain Nissan March serta Nissan Xtrail. Nilai semua kenderaan yang dirampas dalam anggaran RM79,500 manakala nilai duti serta cukai yang terlibat dianggarkan RM112,890.
"Berikutan itu seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang merupakan pekerja syarikat import ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan RM50,000," katanya dalam sidang media di Menara JKDM Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, kontena tersebut diikrarkan di Pelabuhan Pasir Gudang sebagai kontena kosong yang masuk dari Singapura untuk dihantar ke Chile.
Menurutnya, pihaknya sedang menyiasat tujuan kereta tersebut dibawa masuk dan empat daripada jenis tersebut tidak terdapat di negara ini.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum RM100,000 dan maksimum tidak lebih RM500,000 atau penjara enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam kes berasingan, Sazali berkata, pihaknya mengejar sebuah bot fiber berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di perairan Pontian menerusi Ops Benteng pada jam 10 pagi, 24 Oktober lalu.
Menurutnya, setiba di sungai Benut, dua lelaki dalam bot fiber tersebut terjun dan melarikan diri ke kawasan hutan bakau.
Katanya, hasil pemeriksaan pihak kastam menemukan empat bungkusan plastik yang mengandungi 3.36 kilogram serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine bernilai RM217,860.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!