Pendekatan ekonomi klinikal

Ahli Parlimen boleh diibaratkan seperti sekumpulan pakar yang perlu membuat keputusan secara kolektif, berpandukan etika profesional dan ketepatan yang tinggi, untuk memulihkannya kembali normal seperti sedia kala. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Syahir Sulaiman
Ahli Parlimen boleh diibaratkan seperti sekumpulan pakar yang perlu membuat keputusan secara kolektif, berpandukan etika profesional dan ketepatan yang tinggi, untuk memulihkannya kembali normal seperti sedia kala. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Syahir Sulaiman
A
A
A

NEGARA kini berdepan dengan ‘krisis berkembar’, iaitu krisis kesihatan akibat Covid-19 yang bukan sekadar mengancam keselamatan nyawa, tetapi turut mengakibatkan krisis ekonomi yang menjejaskan pekerjaan dan pendapatan rakyat.

Terpenting adalah tumpuan kita terhadap angka-angka ekonomi dan kesihatan awam, di samping tinjauan lapangan bagi mendapatkan realiti sebenar kesusahan rakyat dan keresahan peniaga yang terjejas dengan penularan Covid-19 di seluruh negara.

Defisit besar

Selain bersifat prihatin terhadap keluhan rakyat dan peniaga, Belanjawan 2021 yang dirangka buat pertama kali oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini pastinya bersifat pengembangan bagi memacu pemulihan ekonomi negara dengan peruntukan yang lebih besar (jangkaan mencecah RM300 bilion, defisit sekitar 6.0 peratus).

Secara umumnya, Bajet Pengembangan (expansionary budget) adalah suatu tindak balas fiskal apabila negara berdepan dengan kelembapan ekonomi. Ini kerana pihak kerajaan berperanan untuk berbelanja besar bagi merangsang aktiviti ekonomi (pump-priming), ketika pihak swasta dan pengguna cenderung untuk tidak berbelanja.

Faktor penentu keberkesanan sebuah pakej suntikan ekonomi adalah kesan gandaan dan Limpana Pendapatan (spillover) yang terhasil daripada setiap perbelanjaan kerajaan, bagi menjana permintaan dan perbelanjaan di pihak pengguna dan peniaga, seterusnya merancakkan kitaran ekonomi dan membuka lebih banyak pekerjaan.

Rangsangan ekonomi

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 90,470 orang hilang pekerjaan bagi tahun ini, berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) setakat 28 Oktober 2020.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh sama, sejumlah 33,341 orang berinsurans di bawah SIP telah kembali bekerja menerusi program penempatan pekerjaan semula Perkeso dan portal MYFutureJobs.

Pelbagai inisiatif jangka pendek seumpama bajet mini telah diumumkan di bawah empat fasa pakej ransangan, iaitu Prihatin, Prihatin PKS, Penjana dan Kita Prihatin.

Secara keseluruhan, pakej-pakej rangsangan ekonomi ini bernilai RM305 bilion, hampir 20 peratus kepada nilai KDNK, antaranya melibatkan pemberian Bantuan Tunai BPN (10.6 juta penerima), moratorium pinjaman bank, program Subsidi Upah (2.8 juta pekerjaan), pembiayaan PKS dan pelbagai geran khas kepada usahawan yang terjejas.

Daripada jumlah tersebut, nilai suntikan fiskal kerajaan adalah RM55 bilion, sama nilainya dengan perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2020.

Ekonomi klinikal

Belanjawan 2021 merupakan inisiatif jangka sederhana untuk memastikan langkah memulihkan ekonomi domestik dapat dipertingkatkan, di samping mempersiapkan negara menghadapi kemelesetan ekonomi global yang dijangka berlarutan.

Menurut Professor Jeffrey Sachs dalam bukunya ‘The End of Poverty’:

“First, economies, like individuals, are complex systems. As with a human being, the failure of one system can lead to cascades of failure in other parts of the economy.

"Second, economists, like medical clinicians, need to learn the art of differential diagnosis. Third, clinical economics, like clinical medicine, should view treatment in ‘family’ terms, not just individual terms.

"Forth, good development practice requires monitoring and evaluation, especially a rigorous comparison of goals and outcomes. Fifth, development community requires strong norms, ethics and code of conduct, and a commitment to give honest advice."

Di sinilah pentingnya pendekatan ‘differential diagnosis’ menjadi asas penyediaan Belanjawan 2021. Proses ini bersandarkan pelbagai indikator ekonomi, sosial dan kesihatan yang menyeluruh, di samping proses libat urus dengan pihak berkepentingan dalam kalangan rakyat, pekerja, graduan, usahawan dan majikan, serta penglibatan NGO, kerajaan negeri dan pembangkang.

Ini bagi memastikan setiap keluhan rakyat dan peniaga didengari, di samping mendapat maklum balas dan cadangan secara langsung daripada semua pihak, termasuklah bagi menimbang cadangan yang ‘popular’ mutakhir ini seperti pelanjutan moratorium pinjaman, subsidi upah dan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Selain itu pemahaman konteks secara menyeluruh adalah penting, di mana negara mencatatkan kadar pengangguran dan hutang isi rumah tertinggi, di samping defisit dan hutang yang semakin melebar, serta kutipan hasil cukai yang menyusut (jatuh 20 peratus).

Namun kerajaan masih mempunyai ruang untuk meminjam, khususnya bagi menampung saiz perbelanjaan pembangunan (DE) dengan penerbitan Sukuk yang boleh disertai individu, syarikat dan institusi tempatan, tanpa perlu meminjam dengan pihak luar.

Terlebih penting adalah kualiti penyampaian (delivery) dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan. Manakala akses dan kecaknaan rakyat (awareness) terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan sasaran Belanjawan 2021 dapat dinikmati secara bersama.

Dalam hal ini, sekiranya ekonomi negara diibaratkan sebagai seorang pesakit, maka sekalian ahli Parlimen boleh diibaratkan seperti sekumpulan pakar yang perlu membuat keputusan secara kolektif, berpandukan etika profesional dan ketepatan yang tinggi, untuk memulihkannya kembali normal seperti sedia kala.

Dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang diyakini dapat menolong rakyat, maka inilah masanya untuk sekalian 222 ahli Parlimen berbahas secara profesional, hentikan ‘politiking’, demi menyelamatkan negara dan rakyat.

Selamat berbahas, wakil rakyat.

* Syahir Sulaiman ialah Setiausaha Politik Presiden Pas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!