KKM tarik balik pindaan RUU Racun untuk diperkemas

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah baik Rang Undang-undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019 sebelum dibentang semula di Dewan Rakyat pada masa akan datang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, berdasarkan maklum balas terkini, kementerian itu perlu meneliti semula dan menambah baik RUU Racun berkenaan.

Kata KKM, ia bagi memastikan penguatkuasaan dan pelaksanaan peruntukan di bawah undang-undang tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan melindungi kepentingan semua pihak termasuk orang awam, ahli farmasi, pengamal perubatan dan pihak industri farmaseutikal.

“KKM perlu mengambil kira maslahat pelbagai pihak berkepentingan dan implikasi pindaan, sebelum RUU itu dibentangkan semula pada sidang Parlimen akan datang.

“Sehubungan itu, KKM dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas pada 4 November 2020, telah menarik balik RUU berkenaan untuk RUU Racun tersebut diteliti dan diperkemaskan semula,” kata KKM.

RUU Racun (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 November lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.

Cadangan peruntukan baharu dalam pindaan itu bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan, sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di farmasi luar.

Pembentangan kedua dan ketiga bagi RUU itu ditangguhkan sebanyak dua kali iaitu pada Disember tahun lepas dan semasa persidangan Dewan Rakyat Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!