'Usaha tangani Covid-19 tidak belakangi al-Quran, sunah'

Video kenyataan Zamri itu dimuat naik di dalam Facebook rasmi Jabatan Mufti Perak hari ini.
Video kenyataan Zamri itu dimuat naik di dalam Facebook rasmi Jabatan Mufti Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Mufti Perak menolak dakwaan pihak tertentu bahawa usaha pihak berkuasa agama dalam menangani wabak Koronavirus (Covid-19) di negara ini membelakangi al-Quran dan sunah.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa agama khususnya ahli fatwa dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk dalam hal ibadat umat Islam mengikut panduan al-Quran, sunah, ijmak ulama dan qiyas.

Menurutnya, berbeza dengan pendakwah atau penceramah, ahli fatwa perlu melalui beberapa proses yang amat teliti dengan mendapatkan beberapa pandangan pakar sebelum mengemukakan sesuatu fatwa seterusnya mendapatkan perkenan Sultan.

"Dalam hal menangani Covid-19 ini, mufti dan ahli jawatankuasa fatwa negeri-negeri telah bersidang bukan sekali dua tetapi berkali-kali untuk memutuskan keputusan yang terbaik. Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan panduan hukum dan fatwa kerana tanggungjawab yang besar perlu dipikul.

"Panduan hukum pada orang ramai itu tidak melalui satu proses mudah tetapi berkali-kali melalui proses yang disebut sebagai mematuhi arahan al-Quran itu sendiri iaitu 'hendaklah bertanya kepada pakar kalau engkau sendiri tidak mengetahuinya'.

"Jadi SOP yang kita buat ini tidak lari dari kerangka al-Quran itu sendiri iaitu al-Quran menyuruh kita bertanya kepada yang pakar," katanya dalam kenyataan eksklusif melalui rakaman video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Jabatan Mufti Perak hari ini.

Zamri berkata, dalam soal Covid-19 di negara ini, pakar yang menjadi rujukan adalah Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, panduan hukum yang dibuat berkenaan Covid-19 itu bukan sahaja mengikut kehendak al-Quran tetapi juga berlandaskan sunah Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

"Amat tidak betul SOP yang kita buat ini membelakangi hadis kerana Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan sunah manhaj di mana Baginda memberikan gambaran kepada kita apabila berlaku wabak dan sebagainya metodologinya adalah mencegah.

"Sebab itu dalam peristiwa taun, Nabi Muhammad SAW bersabda: 'Apabila kamu mendengar berita satu wabak taun sampai kepada satu negara, jangan kamu masuki negeri berkenaan. Kalau berlaku wabak itu di sesuatu tempat yang kamu berada di dalamnya jangan kamu keluar daripadanya'," katanya.

Zamri dalam pada itu turut menolak pandangan sesetengah pihak yang mengaitkan penularan Covid-19 sebagai satu konspirasi memandangkan jumlah jangkitan di seluruh dunia kini sebanyak 47.8 juta kes dengan jumlah kematian sebanyak 1.2 juta manusia.

Malah. katanya, negara-negara yang mempunyai kes positif paling tinggi terdiri daripada negara bukan Islam.

Beliau menasihatkan golongan pendakwah supaya tidak mencetuskan konflik sosial di antara rakyat dan pemerintah dalam soal keputusan pihak berkuasa agama menentukan SOP.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi pendidikan, menyemai kasih sayang, perpaduan dan hormat menghormati antara rakyat dan pemerintah selain meminta semua terus berdoa agar negara dijauhi pandemik tersebut.

Sebelum ini, pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias menggesa golongan ulama dan agamawan duduk semeja bagi bersama-sama mencari penyelesaian serta penawar Covid-19 mengikut panduan al-Quran dan hadis nabi.

Menurutnya, melihat kepada keadaan Covid-19 yang masih belum reda malah terus meningkat, umat Islam tidak boleh terus bergantung kepada usaha sedia ada.

Beliau mendakwa, wabak yang melanda dunia itu bukan sahaja mewujudkan kebiasaan baharu di dalam masyarakat malah turut menuntut pengubahsuaian dalam agama yang bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

[Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/107803/KHAS/Koronavirus/Covid-19-Ulama-agamawan-perlu-cari-penyelesaian-bersama]

-end-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!