Akta baharu naikkan lagi nilai hartanah Kampong Bharu
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan kini di peringkat akhir menyediakan akta khusus bagi menggantikan Akta Malay Agricultural Settlement (MAS) yang tidak boleh lagi digunakan sejak wujudnya Wilayah Persekutuan.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, akta khusus tersebut dikenali sebagai Akta Pembangunan Kampong Bharu dijangka akan menaikkan lagi nilai hartanah di kawasan tersebut selain menetapkan tanah itu kekal dimiliki oleh orang Melayu.
Menurutnya, pelan baharu pembangunan Kampong Bharu akan menggunakan konsep organik yang dipecahkan kepada 44 parcel yang setiap satunya berkeluasan sekitar dua hingga lima hektar.
"Kawasan ini akan dibangunkan secara parcel. Kita sudah kenal pasti enam parcel yang sudah boleh dibangunkan, jadi tak perlu tunggu yang lain, kita akan bina dulu.
"Konsep pembangunan ini tidak perlu ditangguh. Pada masa sama, prasarana juga akan laksanakan terus selain ada jalan yang bakal dinaik taraf, " katanya selepas menyampaikan bantuan makanan asas secara pandu lalu kepada 40 pemandu teksi di Laman Yayasan Wilayah Persekutuan Kampong Bharu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau mahu menjadikan hartanah Kampong Bharu itu boleh dijual dengan harga pasaran sebenar yang akan menguntungkan pemiliknya.
"Jika jual sekarang harganya sekitar 850 kaki persegi seperti yang ditawarkan. Jadi saya mahu lihat kesan jangka masa panjang.
"Kawasan ini akan akan dilaksanakan pembangunan bercampur (perumahan dan komersial) pertama yang ada pelan komprehensif. Setiap tanah ada pembangunan dengan harga mengikut parcel," katanya.
Beliau berkata, sesi pertemuan dengan pemilik dan pewaris tanah juga sedang diatur bagi membolehkan mereka diberikan penerangan lanjut berkenaan konsep pembangunan baharu itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!