Pasaran saham di AS terus melonjak
WASHINGTON - Pasaran saham Amerika Syarikat terus melonjak hari ini dengan ramai penganalisis merujuk ia sebagai minggu terbaik buat pasaran saham dalam tempoh beberapa bulan.
Ketika enam negeri masih membuat kiraan undi dalam Pilihan Raya Presiden antara Joe Biden dan Donald Trump, tempiasnya sampai ke Wall Street yang kelihatan turut teruja sehingga melonjakkan pasaran saham.
Pelabur berharap Joe Biden akan mengambil White House manakala Republikan akan menyimpan Senat.
Bagi para pelabur gabungan seperti itu akan membawa kepada dasar yang lebih sederhana termasuk perjanjian rangsangan cepat tetapi dengan kenaikan cukai yang terhad.
Dua indeks menunjukkan kenaikan positif pada awal pembukaan pasaran saham awal pagi Khamis. Dow Jones melonjak 1.3 peratus atau kira-kira 360 mata, manakala S&P membuka 1.6 peratus. Cuma Nasdaq menunjukkan penurunan 1.9 peratus.
Walaupun keputusan pilihan raya tertangguh setakat ini disifatkan sebagai senario mimpi ngeri, bagaimanapun pasaran saham menunjukkan reaksi berbeza minggu ini.
S&P 500 dan komposit Nasdaq berada di landasan terbaik minggu ini iaitu prestasi paling positif sejak April. Bagi Dow Jones, ia merupakan minggu terbaik sejak Jun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!