Dilema bila duit kita dikawal kerajaan

Antara yang dinantikan rakyat juga ialah keputusan kerajaan terhadap pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP).
Antara yang dinantikan rakyat juga ialah keputusan kerajaan terhadap pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP).
A
A
A

BELANJAWAN 2021 adalah berita paling besar yang dinantikan hari ini. Rating televisyen akan mencanak naik, tidak terkecuali juga media sosial yang membuat siaran langsung bermula jam 4 petang nanti.

Kali pertama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkannya di Parlimen, jadi apakah menu yang akan disajikan kepada kita?

Rakyat tidak mahu tahu apa projek mega yang akan diumumkan kerajaan walaupun kita tahu, sekiranya ada projek mega, suntikan ekonomi akan berlaku.

Tetapi rakyat nak tahu apa yang mereka akan dapat! Apa kesan kepada T20, M40 dan B40 dengan pengumuman Belanjawan 2021 petang nanti. Sebab apa yang kita tahu, sejak pandemik Covid-19 menyerang dunia, jutaan penduduk negara terjejas sumber pendapatannya.

Kategori T20 bertukar menjadi M40, M40 menjadi B40, lalu apa yang terjadi kepada B40? Ini yang menjadi persoalan kepada rakyat. Bagaimana mereka perlu teruskan kehidupan dan sampai bila perlu berterusan dengan keadaan ini.

Benar setakat ini pelbagai bantuan kerajaan telah berikan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), program Penjana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan juga suntikan kewangan menerusi agensi kerajaan dan swasta, tetapi soalnya cukupkah untuk kehidupan sekiranya sang ayah menanggung enam kepala dalam keluarga?

Ya, mungkin moratorium dapat membantu, bagi kakitangan yang bekerja dari rumah dapat mengurangkan kos jangka pendek dan mungkin bagi kakitangan kerajaan masih mendapat gaji penuh.

Berlainan dengan sektor swasta, ada majikan yang terpaksa mengurangkan upah bulanan, dek kerana produktiviti berkurangan dan kurang ‘demand’ pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Nasib

Pengalaman penulis sendiri ada beberapa kenalan yang kehidupannya hanya berniaga tepi jalan, ketika kami berjumpa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Lembah Klang, salah seorang daripadanya mengeluh: “Aku ni berniaga tepi jalan, hari biasa pun sejak PKP Mac lalu dah mula terasa, orang sangat berkurang.

“Kudrat pun dah tak berapa ada, setiap kali menjual, modal pun susah nak dapat balik, tak termasuk lagi dengan upah pekerja. Kalau tak ambil pekerja, kami okey tapi bagaimana nasib mereka ini?

“Tak tahulah sampai bila kami boleh bertahan, semoga Belanjawan 2021 ini ada ruang untuk kami bernafas,” katanya.

Itu seorang yang penulis jumpa, tetapi penulis percaya nasib peniaga lain juga sama.

Tetapi, selalu terdengar dialog, peniaga kena berubah, kena kreatif ikut trend baru boleh berjaya, tetapi berlainan bila kita bercakap sambil depan laptop atau menaip keypad telefon pintar.

Mereka yang nak berubah juga perlukan modal! Semuanya berkisah dengan duit.

Selain itu, antara yang dinantikan juga keputusan kerajaan terhadap pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP), adakah kita berperluang menikmati pada masa susah ini?

Data terkini KWSP menunjukkan seramai 14.6 juta pencarum dan daripada jumlah itu sebanyak 54 peratus pencarum tidak mencukupi dana persaraan walaupun telah berusia 54 tahun.

Mereka hanya ada kurang RM50,000! Jadi bagaimana jika dibenarkan pengeluaran pada masa ini dan apakah nasib mereka ketika bersara nanti?

Jika tiada inisiatif ini nanti, maka kerajaan perlu memberikan suntikan kewangan secara langsung kepada rakyat tetapi mampukah kerajaan ketika ini dan semestinya akan menambah liabiliti kepada kerajaan.

Susahnya kita ada duit, tetapi dikawal kerajaan. Tetapi penulis percaya kerajaan ada sebab tersendiri kenapa berbuat demikian.

Jika tidak benarkan pengeluaran akaun satu KWSP, kerajaan pasti ada jalan lain yang tidak akan menyusahkan rakyat.

Mungkin perlu kurangkan gaji CEO syarikat berkaitan kerajaan atau gaji ahli politik yang dilantik menjadi pengerusi syarikat atau agensi kerajaan untuk dikembalikan kepada rakyat.

Teringat skrip filem Ola Bola yang berbunyi: “Kita menang sama-sama, kalah sama-sama” kini masa untuk buktikannya.

* Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Produser Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!