Belanjawan 2021: Penentuan nasib rakyat, Muhyiddin
SEJAK kelmarin, Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-59 menjadi tumpuan utama seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia sendiri.
Lebih-lebih lagi pada saat AS berdepan krisis ekonomi dan kesihatan terburuk dalam sejarah susulan ancaman pandemik Covid-19, kedudukan penyandang Presidennya, Donald Trump boleh diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ dek dakwaan beliau gagal ‘mengawal’ keadaan di negara itu.
Di Malaysia, keadaan politik tidak jauh beza dengan AS.
Bermula dengan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen 'meyakinkan' untuk menubuhkan kerajaan baharu pada 13 Oktober lalu.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula terus menunjukkan tanda-tanda pergolakan dan tidak kukuh sehingga kini.
Ditambah dengan keputusan parti sekutu, UMNO yang mempertimbangkan keputusan menarik sokongan kepada kerajaan PN sebelum ini, ramai menjangkakan kerajaan Muhyiddin akan tumbang sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dilaksanakan.
Seperti nasib Trump, keadaan kerajaan Muhyiddin juga diklasifikasikan sebagai ‘tenat’ oleh sebilangan pemerhati politik, lebih-lebih lagi setelah usaha beliau untuk memohon perkenan proklamasi darurat daripada Yang di-Pertuan Agong ditolak.
Meskipun UMNO akhirnya melaksanakan gencatan politik dan berikrar terus menyokong kerajaan PN demi menjunjung titah Seri Paduka Baginda yang meminta semua pihak berhenti ‘berpolitiking’, kebimbangan usul Belanjawan 2021 tidak diluluskan masih tinggi.
Justeru, tidak keterlaluan penulis menjangkakan usul pembentangan Belanjawan 2021 pada hari ini bakal diikuti 32.7 juta rakyat Malaysia dengan penuh harapan, debaran dan kecurigaan.
Penuh harapan kerana rakyat mendambakan intipati Belanjawan 2021 merangkumi pelbagai aspek keperluan mereka seperti mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memberi suntikan besar dalam menjana ekonomi domestik dan menyalur bantuan bersesuaian untuk menyejahterakan rakyat.
Penuh debaran dan kecurigaan pula kerana majoriti rakyat bimbang ahli-ahli Parlimen termasuk pemimpin blok kerajaan masih lagi berpolitik sehingga menyebabkan intipati belanjawan bermotifkan habuan politik atau senario lebih buruk, usul tidak diluluskan.
Pada masa sama, usul Belanjawan 2021 yang julung kali bakal dibentang kerajaan PN juga semakin tersepit dengan situasi negara dibebani dengan jumlah hutang agak besar.
“Situasi itu bertambah buruk dengan kedudukan kerajaan sedia ada yang tidak stabil, menyebabkan ada kemungkinan intipati belanjawan dibentangkan akhirnya menjurus usaha kerajaan untuk terus kekal berkuasa berbanding memfokuskan kebajikan rakyat,” kata penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.
Walaupun terdapat kemungkinan besar usul belanjawan akhirnya diluluskan, kerajaan PN masih berdepan pelbagai rintangan kerana ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) secara konsensus mengemukakan syarat tertentu sebelum menyokong usul terbabit.
“Syaratnya termasuklah memberikan peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang demi pembangunan rakyat di kawasan mereka kerana adalah tidak demokratik menghukum rakyat hanya kerana berbeza ideologi politik.
“UMNO pula dilihat berbelah bahagi dalam menyokong usul belanjawan dibentangkan Muhyiddin kerana beliau difahamkan masih enggan memenuhi beberapa tuntutan penting parti itu.
“Arahan kepimpinan tertinggi UMNO untuk menyokong usul belanjawan tidak semestinya bakal diikuti semua ahli Parlimen parti itu. Mungkin juga ada yang tidak hadir dengan pelbagai alasan untuk menggagalkan usul berkenaan,” kata penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar sewaktu dihubungi meluahkan keyakinan usul Belanjawan 2021 yang bakal dibentang akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Mungkin ada parti pembangkang yang tolak (usul Belanjawan 2021), tetapi (tidak mustahil) ada juga yang akan sokong. Oleh itu saya percaya belanjawan akan diluluskan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, usul Belanjawan 2021 kali ini sangat penting kerana ia menunjukkan komitmen jelas kerajaan PN dan 221 ahli Parlimen sendiri (satu lagi kerusi Parlimen Batu Sapi dikosongkan) dalam membuktikan kebajikan rakyat diutamakan sewaktu berhadapan cabaran krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.
“Saya yakin kerajaan akan membuat keputusan-keputusan berani dalam Belanjawan 2021 demi kepentingan rakyat.
“Antara keputusan berani itu termasuklah persediaan menjadikan belanjawan defisit demi memastikan rakyat dapat menerima manfaat lebih selain agenda meneruskan projek-projek pembangunan berimpak tinggi demi mencetuskan kembali ekonomi domestik,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui terdapat perbincangan diadakan antara blok ahli Parlimen PH dengan kerajaan PN untuk mencari jalan penyelesaian terbaik memastikan usul Belanjawan 2021 dapat diluluskan.
“Ada beberapa perkara disarankan PH untuk dimasukkan dalam usul Belanjawan 2021 iaitu peruntukan vaksin Covid-19 dan perbelanjaan tambahan untuk Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain itu, kami turut mencadangkan kerajaan memberi bantuan pekerjaan kepada rakyat yang hilang pekerjaan sewaktu pandemik Covid-19, moratorium pinjaman bank dilanjutkan, pemberian bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan mempertingkatkan jaringan infrastruktur capaian internet di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Di sebalik sesi perbincangan diadakan dengan wakil kerajaan PN, Boon Chye bagaimanapun agak terkilan apabila Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sehingga kini masih belum memberikan maklum balas terhadap senarai cadangan dikemukakan ahli Parlimen PH itu.
“Berikutan itu, semua ahli Parlimen PH terpaksa menunggu sesi pembentangan Belanjawan 2021 esok (hari ini) bagi mengenal pasti sama ada intipatinya benar-benar memenuhi keperluan rakyat termasuk rakyat kawasan kami atau tidak.
“Sekiranya inti patinya tidak bersifat adil, kami pastinya tidak akan menyokong usul belanjawan berkenaan. Untuk itu, kami turut bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan pilihan raya mengejut sekiranya usul itu tidak lulus,” katanya.
Boon Chye turut menolak dakwaan kononnya blok ahli Parlimen PH menyertakan tuntutan pemberian peruntukan ahli Parlimen dianggarkan berjumlah keseluruhan RM300 juta untuk dipenuhi kerajaan PN sebagai syarat menyokong usul Belanjawan 2021 diluluskan.
INFO:
BELANJAWAN MALAYSIA DALAM TEMPOH LIMA TAHUN
Belanjawan 2016
Peruntukan: RM267.2 bilion
Belanjawan 2017
Peruntukan: RM260.8 bilion
Belanjawan 2018
Peruntukan: RM280.25 bilion
Belanjawan 2019
Peruntukan: RM314.5 bilion
Belanjawan 2020
Peruntukan: RM297 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!