Hakim tolak cubaan Trump henti pengiraan undi
PHILADELPHIA - Seorang hakim semalam menolak percubaan pasukan kempen Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan pengiraan undi pilihan raya Presiden di bandar raya Philadelplhia di negeri Pennsylvania berhubung dakwaan para penyokongnya tidak dibenarkan untuk memantau proses pengiraan undi pos.
Hakim Daerah, Paul Diamond sebaliknya berkata, kedua-dua pihak iaitu parti Republikan dan badan pilihan raya negeri itu perlu mencapai satu persetujuan berhubung bilangan anggota pemantau yang dibenarkan berada di dalam Pusat Konvensyen Pennsylvania di bandar raya Philadelphia.
Diamond mencadangkan setiap pihak perlu bersetuju dengan 60 anggota pemantau daripada setiap parti dibenarkan berada di dalam dewan tersebut.
"Bolehkah kita menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab dan mencapai persetujuan?," kata hakim tersebut di dalam kamar mahkamahnya seperti dilaporkan akhbar New York Post.
Tuntutan untuk menghentikan pengiraan itu dibuat selepas anggota-anggota kempen pilihan raya Trump telah dilarang memasuki kawasan pengiraan undi di dalam Pusat Konvensyen Pennsylvania.
Undi popular di negeri Pennsylvania masih belum selesai dikira dan proses pengiraan masih berterusan sehingga hari ini.
Pennsylvania memperuntukkan 20 undi elektoral kepada pemenang undi popular di negeri tersebut.
Seseorang calon Presiden AS memerlukan 270 undi elektoral untuk memenangi pilihan raya Presiden negara itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!