Tiga OKU teruja diberi peluang lanjut pengajian di UIAM

Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (tiga, kanan) beramah mesra bersama Nurrulaini Ahmad (dua kanan) yang mengalami kecacatan fizikal (rendah), Ahmad Danial Mohd Sani (dua, kanan) (kecacatan penglihatan) dan Ahmad Hazmi Johari (kanan) (kecacatan pendengaran dan pertuturan) ketika menghadiri Majlis Bai’ah atau Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini. Foto: Bernama
Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (tiga, kanan) beramah mesra bersama Nurrulaini Ahmad (dua kanan) yang mengalami kecacatan fizikal (rendah), Ahmad Danial Mohd Sani (dua, kanan) (kecacatan penglihatan) dan Ahmad Hazmi Johari (kanan) (kecacatan pendengaran dan pertuturan) ketika menghadiri Majlis Bai’ah atau Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Impian tiga orang kelainan upaya (OKU) untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi berprestij menjadi kenyataan apabila mereka merupakan antara 623 pelajar baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bagi Ahmad Danial Mohd Sani, 25, peluang mengikuti program ijazah sarjana muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Quran dan Sunnah) di UIAM seumpama bulan jatuh ke riba selepas beberapa kali permohonannya untuk melanjutkan pelajaran tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

"Kecacatan buta sepenuhnya akibat katarak ketika berumur tiga tahun membuatkan permohonan saya melanjutkan pelajaran di beberapa institusi pengajian tinggi, gagal, malah saya hampir berputus asa.

"Nyata Tuhan memakbulkan doa saya dengan membuka peluang saya menyambungkan pelajaran di sini selepas dua kali memohon ke UIAM," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Bai'ah Pelajar Baharu bagi Semester 2 Sesi 2018/2019 di Kampus UIAM Gombak hari ini.

Tambah Ahmad Danial, beliau sudah bersedia menghadapai semua cabaran menjadi pelajar di UIAM walaupun mengetahui dan memahami kesukaran yang bakal dihadapi sepanjang empat tahun pengajiannya nanti.

"Sebelum ini pun, saya sudah biasa menguruskan diri sendiri ketika menyambung pelajaran di peringkat diploma di Tahfiz Walqiraat Darul Jakim. Saya yakin dan berharap dapat menyertai lebih banyak aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti terutama berkaitan golongan kurang upaya," katanya.

Sementara Nurulaini Ahmad, 21, yang mengalami masalah kekerdilan mengakui teruja dengan peluang yang diberi oleh UIAM untuknya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling).

Dengan ketinggian hanya 141 sentimeter (cm), Nurulaini nekad menghadapi semua cabaran termasuk kesukaran berjalan dalam jarak jauh dan memerlukan kenderaan khas untuk ke kelas bagi menggapai cita-citanya untuk menjadi pakar psikologi klinikal.

Artikel Berkaitan:

"Inilah peluang untuk saya meningkatkan pretasi diri dan berharap UIAM akan terus konsisten menawarkan tempat buat golongan OKU kerana ia mampu menjadi platform untuk lebih ramai yang senasib seperti kami melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi," katanya yang berasal dari Batu Kurau, Perak.

Dalam pada itu, Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, kehadiran Ahmad Danial, Nurulaini dan Ahmad Hazmi Johari (OKU pendengaran dan pertuturan) sangat istimewa kerana buat pertama kalinya UIAM menerima tiga pelajar OKU serentak pada satu semester.

"Kemasukan ketiga-ketiga pelajar ini diharap akan meluaskan lagi peluang golongan kurang upaya yang berpotensi melanjutkan pelajaran di UIAM. Ini kerana kami serius mengamalkan polisi inklusif OKU yang dilancarkan pada November lalu termasuk mewujudkan Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya yang bernaung di bawah Pejabat Timbalan Rektor dan diterajui oleh Prof Dr Ruzita Mohd Amin,” katanya.

Tambah Dzulkifli, secara keseluruhan, UIAM mempunyai 84 pelajar kurang upaya dan jumlah itu dijangka bertambah selaras dengan penambahbaikan prasarana berkeperluan khas untuk semua kategori OKU yang meliputi pelajar dan kakitangan universiti.

"Kami sedang menambah baik beberapa keperluan khas seperti laluan kerusi roda, lif mesra OKU dan parkir OKU. Ini semua adalah bagi memastikan mereka selesa dan selamat seperti mana yang dinikmati oleh pelajar biasa," katanya.

Terdahulu, seramai 321 pelajar baharu tempatan dan 302 pelajar baharu antarabangsa secara rasminya menjadi pelajar UIAM selepas mereka melafazkan ikrar Bai'ah yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Aktiviti UIAM Kampus Gombak.

Bacaan ikrar pada majlis Bai'ah yang merupakan kemuncak bagi acara penutup minggu suai kenal atau lebih dikenali sebagai minggu ta'aruf di UIAM dipimpin oleh Abdul Aizat Ab Halim, pelajar jurusan Sarjana Muda Sosiologi dan Antropologi.

Sepanjang lima hari berta'aruf, pelbagai aktiviti dan taklimat diberikan kepada penuntut baharu agar mereka akan lebih mengenali selok-belok sekitar kampus terutama berkaitan kuliyah pengajian dan jabatan yang terdapat di UIAM. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!