Empat chalet di Pulau Aur musnah terbakar
MERSING - Empat buah chalet di Pulau Aur, dekat sini musnah dalam satu kebakaran semalam.
Kejadian pada jam 1.28 tengah hari itu tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana ketika itu tiada penghuni.
Penduduk kampung pulau itu berusaha memadam dan mengawal kebakaran menggunakan alat pemadam api dan air laut sebelum menghubungi bomba.
Komander operasinya, Penolong Penguasa Bomba Azhari Awi berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dihantar ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihaknya turut membawa satu unit 'portable pump' dengan menaiki bot polis marin untuk ke Pulau Aur.
"Kebakaran melibatkan tiga chalet jenis separuh kekal yang setiap satu mempunyai dua pintu berkeluasan 20 kaki x 20 kaki x 10 kaki setiap unit.
"Sebuah unit lagi berkeluasan 40 kaki x 20 kaki x 20 kaki yang dijadikan sebagai rumah pekerja dan dewan serbaguna turut terbakar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pihak bomba juga menggunakan air laut semasa memadam kebakaran dan keempat-empat chalet tersebut terbakar 90 peratus.
Katanya, operasi tersebut tamat pada jam 6.15 petang, punca kebakaran dan nilai kerugiaan masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!