Berhikmah dalam menyalurkan bantuan
SHAH ALAM – Kerajaan atau pembuat dasar perlu berhikmah dalam menyalurkan bantuan serta peruntukan supaya tiada golongan sasaran tercicir.
Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, bagi mengelak perkara itu berlaku, pihak terbabit perlu meletakkan polisi yang tepat dan lurus.
“Mereka juga perlu hikmah dalam meletakkan kayu ukur. Sekiranya kayu ukur itu bengkok, maka bengkoklah polisi itu. Ia mestilah lurus dengan polisi yang ditetapkan.
“Begitu juga dari segi pelaksanaan polisi, perlu ada pemantauan terperinci. Kerajaan atau organisasi terlibat (salur bantuan) perlu fikir adakah mereka berasa lega atau puas ketika menjalankan tugas mereka, adakah mereka sudah melakukan yang terbaik?
“Jadi hikmah perlu dalam membentuk polisi, pelaksanaan, pemantauan dan pengukuran impak. Tidak guna kita menyatakan bajet yang banyak tetapi masyarakat tersasar masih terasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Belanjawan 2021: Terbelakah golongan M40?' yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.
Dalam wacana itu, Mohd Daud bergandingan bersama penganalisis ekonomi, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator serta qari jemputan Ustaz Husaini Mahmur yang membacakan surah al-Baqarah.
Menurutnya, kerajaan perlukan gabungan dan sinergi seperti dengan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) surau dan masjid bagi memastikan penyaluran peruntukan lancar.
“Zaman kita bekerja sendirian sudah habis. Krisis membawa kita untuk bekerja sekali, malah kerajaan yang berfikiran mereka boleh mentadbir kerajaan sendiri adalah kerajaan tidak bijaksana.
“Kalau kita tengok bajet tahun lepas, peruntukan diberi tapi tidak bersasar. Skim bantuan sara hidup diberikan kepada mereka yang jaya, anak bujang pun dapat.
Katanya, dalam al-Quran bahkan pihak zakat juga sudah menjelaskan golongan tepat dan sifat yang patut menerima bantuan.
“Kita tidak ada sumber (resources) yang banyak sebab itu perlu ada hikmah dari segi mensasarkan kepada mereka yang berhak.
"Begitulah konsep dalam bajet hari ini, ke arah hikmah menyantuni setiap segmen dalam masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!