Ketua Pertahanan AS sedia surat peletakan jawatan
WASHINGTON - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper telah menyiapkan surat peletakan jawatan, ketika AS masih ternanti-nanti keputusan pemilihan presiden, lapor agensi Anadolu memetik NBC News,
Menurut NBC, tiga pegawai pertahanan yang masih bertugas berkata, Esper menyiapkan surat itu "kerana beliau seorang pegawai Kabinet yang sudah sekian lama mahu disingkirkan selepas pilihan raya."
Ketua pertahanan itu telah lama tidak sebulu dengan Presiden Donald Trump, menurut beberapa laporan, perselisihan kedua-dua mereka termasuk dalam isu mengenai tindakan Trump menggunakan Pengawal Negara untuk menamatkan tunjuk perasaan baru-baru ini.
NBC News melaporkan Esper membantu anggota Kongres membuat perancangan menukar nama-nama pemimpin Gabungan dari pangkalan tentera.
Menurut pegawai itu, minggu ini, Esper memberikan kerangka bertulis kepada pemimpin Pentagon untuk menamakan semula pegawai dan mungkin juga nama kapal dan jalan di pangkalan tentera sebagai menghargai ketua atau pemimpin Gabungan.
Tindakan itu menyebabkan Esper berselisih pendapat dengan presiden.
Laporan berkenaan dibuat ketika AS menunggu keputusan pilihan raya yang akan menentukan siapa bakal menjadi presiden ke-46.
Calon Demokrat Joe Biden ketika ini mendahului dengan 264 undi elektoral manakala Trump dengan 214 undi, menurut ramalan The Associated Press (AP).
Disebabkan kiraan masih berterusan di negeri-negeri utama seperti Pennsylvania, Nevada, Georgia dan Carolina Utara, Biden kekurangan hanya enam undi elektoral daripada 270 yang diperlukan, menurut AP.
Pilihan raya diadakan untuk presiden, naib presiden, 35 daripada 100 senator dan semua 435 anggota Dewan Perwakilan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!