Empat siaran televisyen henti siar sidang akhbar Trump

Pengacara stesen televisyen MSNBC, Brian Williams bertindak menamatkan siaran sidang akhbar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dari Rumah Putih, Washington semalam. - Foto Getty Images
Pengacara stesen televisyen MSNBC, Brian Williams bertindak menamatkan siaran sidang akhbar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dari Rumah Putih, Washington semalam. - Foto Getty Images
A
A
A

WASHINGTON - Sebanyak empat stesen televisyen bertindak menghentikan siaran sidang akhbar oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam selepas beliau mendakwa terdapat penipuan berlaku dalam pilihan raya Presiden negara itu.

Menurut portal berita Fox News semalam, pengacara NBC Nightly News, Lester Holt menghentikan siaran sidang akhbar Trump selepas lima minit ia disiarkan oleh stesen televisyen tersebut.

"Kami perlu mengganggu siaran sidang akhbar tersebut selepas Presiden membuat kenyataan palsunya bahawa terdapat penipuan undi," kata Holt kepada para penonton.

"Tidak ada sebarang bukti dalam tuduhan itu (penipuan pilihan raya)," tambahnya.

Pengacara stesen televisyen CBS, Norah O'Donnell turut bertindak menghentikan siaran sidang akhbar tersebut.

Tindakan yang sama turut dilakukan oleh stesen televisyen ABC.

Sebelum itu, MSNBC merupakan stesen televisyen pertama yang menghentikan siaran sidang akhbar tersebut selepas ia disiarkan selama dua minit.

"Tidak ada undi haram yang kita ketahui. Tidak ada kemenangan Trump yang kita tahu," kata pengacara MSNBC, Brian Williams.

Artikel Berkaitan:

Trump yang ketinggalan di belakang pencabarnya, Joe Biden dari segi undi elektoral setakat ini mendakwa semalam pada sidang akhbarnya di Rumah Putih, Washington D.C bahawa beliau telah ditipu dalam pilihan raya Presiden negara itu.

"Mereka cuba untuk mencuri pilihan raya," kata Trump pada sidang akhbar tersebut dua hari selepas pilihan raya Presiden AS diadakan.

Ketika itu, jumlah undi yang diperoleh oleh media menunjukkan Biden mendapat 264 undi elektoral berbanding Trump 214 untuk memenangi pilihan raya tersebut sekali gus menjadi Presiden AS.

Seseorang calon Presiden AS perlu mendapatkan undi elektoral sebanyak 270 untuk memenangi pilihan raya Presiden negara itu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!