'Belum ada petunjuk kes lelaki dibawa arus banjir'
SEREMBAN - Bomba masih belum menemui petunjuk dalam operasi pencarian seorang lelaki yang dikhuatiri lemas akibat dibawa arus banjir kilat di Jalan Rasah, Taman Happy di sini, dalam kejadian pada Selasa lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, pihaknya meneruskan pencarian buat kali kedua di Sungai Linggi dari Kuala Sawah, Rantau menghala ke Tol Rasah dalam operasi memasuki hari ketiga, hari ini.
"Operasi pencarian sehingga jam 6 petang semalam pun kami masih belum dapat apa-apa petunjuk.
"Jadi hari ini kami ulang pencarian di lokasi sama seperti pada hari pertama. Operasi bermula jam 9 pagi tadi dengan melibatkan keanggotaan seramai 42 orang termasuk khidmat dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan polis, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN Banjir kilat: Lelaki hilang dihanyutkan arus deras
Menurut beliau, operasi pencarian akan diteruskan atau tidak bergantung kepada petunjuk diperoleh hari ini.
"Jika masih tiada apa-apa dan tiada laporan polis berkenaan orang hilang kita akan berbincang dengan polis sama ada mahu meneruskan pencarian atau tidak," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sehingga jam 1 tengah hari, tiada sebarang laporan polis diterima berkenaan orang hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!