Pimpinan Warisan Plus buat laporan polis isu PSS
KOTA KINABALU - Beberapa pemimpin utama Warisan Plus hari ini nafi dakwaan kenyataan dikeluarkan dalam sebuah portal yang bahawa kerajaan negeri pimpinan parti itu sebelum ini mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kenyataan itu ditularkan di aplikasi WhatsApp sejak semalam berhubung lambakan PATI di Sabah ketika pemerintahan Warisan Plus.
"Laporan polis ini mengenai satu kenyataan yang tular di media sosial merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa lambakan PATI berlaku di Sabah di zaman kerajaan pemerintahan Warisan Plus waktu itu, di mana kenyataan itu dinyatakan banyak dikeluarkan PSS dan juga IMM13.
"Perkara ini kita anggap tidak betul, jadi kita berharap supaya ia disiasat pihak berwajib kerana sepanjang ingatan kita kerajaan Warisan Plus tidak pernah mengeluarkan pas yang didakwa," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Karamunsing di sini hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang; Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua; Ketua Pemuda Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Saang dan ADUN Luyang daripada Parti DAP, Phoong Jin Zhe.
Menurutnya, kenyataan itu disifatkan sebagai serius kerana menjejaskan reputasi kerajaan mereka terdahulu.
"Perkara ini kita tidak boleh anggap mudah kerana kalau dibiarkan, sudah tentu menjejaskan reputasi kita dahulu.
"Ketika dalam Kabinet, tiada pun kita arah, tiada pun kita putuskan dalam Kabinet kita mengeluarkan pas itu.
"Kalau yang didakwa itu berlaku, pihak berwajib perlu siasat kerana yang layak mengeluarkan pas seperti IMM13 adalah pihak berwajib seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.
Jaujan berkata, pihaknya menganggap tujuan kenyataan itu ditular seperti ada agenda tersendiri.
"Kita tidak tergamak dan tidak terfikir untuk mengeluarkan PSS atau kad burung-burung dan perkara ini jangan dijadikan sebagai modal oleh pihak tertentu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!