Kerajaan peruntuk RM3.7 bilion laksana skim JanaKerja

Tengku Zafrul pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu, termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan kerajaan sebanyak RM3.7 bilion.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur.

"Berikutan pandemik Covid-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989.

"Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah Perkeso yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya dengan beberapa penambahbaikan.

"Pertamanya, insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan, kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan

"Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus.

"Bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, insentif terbabit akan diberikan untuk tempoh enam bulan.

"Mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

"Bagi menjayakan keempat-empat inisiatif PenjanaKerjaya ini, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 pencari kerja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!