Belanjawan 2021 perkasa golongan wanita
KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 tidak melupakan sumbangan golongan wanita yang sentiasa berbakti kepada negara dari segenap aspek.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas disediakan melalui Tekun Nasional (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan AgroBank.
“Selain itu, sebanyak RM50 juta juga disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.
“Lebih 2,000 usahawan wanita yang terlibat dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan akan diberi bimbingan melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Micro atau BizMe.
“Kerajaan juga akan menyediakan program khusus untuk kontraktor wanita Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak kerajaan,” katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Menyedari kepentingan menangani isu keganasan rumah tangga, Tengku Zafrul turut mengumumkan kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat dengan peruntukan sebanyak RM21 juta.
“Pusat ini dengan kerjasama NGO menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada golongan wanita terutamanya berdepan masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!