Bekas menteri PH minta jelaskan peruntukan untuk pertahanan negara
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong meminta kerajaan menjelaskan beberapa persoalan yang timbul daripada intipati Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.
Meskipun Mohamad dan Chin Tong menerima baik beberapa teras usaha kerajaan untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara, namun mereka meminta kerajaan menjelaskan jenis aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal dibaik pulih.
"Hampir setengah daripada peruntukan RM4.5 bilion (sekitar RM2.3 bilion) telah ditujukan khas untuk pemulihan aset ATM.
"Sebaik-baiknya pihak kerajaan perlu memberi butiran lebih terperinci untuk menyatakan, mengikut cabang perkhidmatan, apakah aset-aset tersebut yang akan dibaik pulih?
"Sebaik-baiknya butiran ini diberi ketika waktu perbahasan nanti. Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan sekali lagi pihak kerajaan untuk turut memikirkan isu jangka panjang berkaitan aset-aset ATM," kata mereka menerusi satu kenyataan hari ini.
Mohamad dan Chin Tong turut menuntut penjelasan sama ada kerajaan turut komited untuk membangkitkan keupayaan pertahanan siber ATM susulan kerajaan memperuntukkan RM30 juta kepada syarikat Cyber Security Malaysia bagi mengukuhkan keselamatan siber negara.
"Pada bulan September tahun ini, ketika ucapan Hari Ulang Tahun ke-87 ATM, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang memaklumkan TUDM mengumumkan penubuhan Pemerintahan Siber ATM khas untuk menangani aktiviti siber elektromagnetik.
"Kami berharap pihak kerajaan turut bersedia untuk memastikan penubuhan Pemerintahan Siber ATM diberikan perhatian yang secukupnya," kata mereka.
Selain itu, Mohamad dan Chin Tong turut meminta penjelasan terhadap usaha kerajaan bagi membaik pulih ribuan unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang tidak selamat diduduki.
"Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperuntukkan RM50 juta untuk membaiki hampir 2000 unit RKAT.
"Pada tahun 2020, peruntukan RM150 juta telah disediakan dan sebanyak 6,000 unit RKAT disasarkan untuk kerja-kerja pembaikan.
"Kami berharap sementara kerajaan ingin bina 1,000 unit RKAT baru tahun hadapan, unit RKAT lama yang tidak selamat diduduki turut diberikan perhatian dan peruntukan juga. Hakikatnya, unit-unit baru ini juga akan memerlukan peruntukkan penyelenggaraan dalam masa akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!