Pengurus rempuh kilang: Polis lakukan siasatan menyeluruh

A Asmadi
A Asmadi
A
A
A

IPOH - Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh berhubung kejadian bekas pengurus kilang yang merempuh tempat kerjanya sebelum ditemukan maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kawasan Perindustrian IGB Tasek di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada beberapa individu bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya, pihaknya turut mengesahkan menerima laporan awal daripada mangsa yang berusia 52 tahun itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan. Laporan awal oleh mangsa kita klasifikasikan sebagai pertelingkahan antara pekerja dan syarikat yang mana ia perlu dirujuk ke agensi lain seperti tribunal serta Kementerian Sumber Manusia.

“Bagaimanapun, disebabkan kejadian semalam, kita akan menyiasat lebih lanjut. Kita telah mula mengambil keterangan dan merakam percakapan untuk lengkapkan fakta kes ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427/448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian semalam melaporkan mangsa bertindak merempuh masuk kawasan kilang dengan memandu Honda Civic hingga menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan maut sejam kemudian disyaki dilanggar sebuah treler ketika dalam perjalanan melarikan diri dari tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengurus kilang mengamuk sebelum maut dilanggar treler



Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!