Permaisuri Selangor hadiahkan motosikal kepada penghantar makanan
SHAH ALAM - Kesedihan seorang penghantar makanan wanita yang motosikalnya dicuri baru-baru ini terubat selepas menerima hadiah istimewa daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah motosikal kepada Nur Athirah Abdul Latiff, 23.
Menurut kenyataan itu, Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan rasa simpati dan sedih dengan musibah menimpa wanita berkenaan.
"Titah baginda, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.
"Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan ALLAH SWT," menurut kenyataan itu.
Kelmarin, tular gambar Nur Athirah dalam keadaan sedang menangis selepas mengetahui motosikal yang baru dibelinya kira-kira tiga bulan lalu dicuri.
Kejadian berlaku di sebuah pasar raya di Batu Caves sewaktu wanita itu sedang melakukan kerja penghantaran di sekitar kawasan itu.
Menurut kenyataan sama, Tengku Permaisuri Selangor berharap sumbangan itu membantu Nur Athirah meneruskan pekerjaannya.
"Nur Athirah merupakan anak kedua daripada tiga beradik, tinggal bersama ibunya di Batu Caves dan kini bertindak selaku penyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.
"Sumbangan ini diharap membolehkan Nur Athirah kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga," menurut kenyataan itu lagi.
Sumbangan disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz kepada Nur Athirah.
Berhubung kehilangan motosikal berkenaan, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan, bagaimanapun belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!