Pesawah risau infrastruktur sawah terabai

Aswadil Khairi
Aswadil Khairi
A
A
A

ALOR SETAR - Pengumuman peruntukan kepada pesawah dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini sedikit membimbangkan para pesawah di utara tanah air.

Ia berikutan belanjawan kali ini dilihat tidak melibatkan peruntukan bagi menaik taraf infrastruktur ladang.

Ketua Peladang Muda PPK EiV Bukit Besar, Aswadil Khairi Che Omar berkata, pembangunan infrastruktur dalam kerja sawah sangat penting terutama dari segi jalan ladang dan sistem pengairan.

"Bagaimanapun, apabila melihat pengumuman sebentar tadi, jumlah bajet kali ini menurun berbanding peruntukan ketika Belanjawan 2020. Jadi kita menjangkakan permohonan yang dibuat sebelum ini untuk membaiki jalan-jalan ladang dan juga sistem pengairan akan terbengkalai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Aswadil Khairi berkata, infrastruktur merupakan antara perkara asas yang perlu diberi penekanan dalam memastikan kerja sawah berjalan lancar.

"Sebagai contoh, sekiranya sistem pengairan mengalami masalah, tanaman padi juga akan terjejas. Ini kerana proses mengairi tanaman sangat penting dalam menghasilkan padi yang berkualiti tinggi," katanya.

Aswadil Khairi bagaimanapun berkata, beliau berharap peruntukan yang diumumkan hari ini akan sampai kepada pesawah tanpa ada ketirisan di mana-mana peringkat.

Malah, katanya, dia turut berharap usaha untuk menaik taraf infrastruktur ladang akan diberi perhatian selayaknya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan pemberian subsidi harga padi sebanyak RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi bagi pesawah berjumlah RM960 juta dan subsidi baja padi bukit berjumlah RM40 Juta bagi tahun hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!